Malaysia rakan boleh dipercayai, penting buat Rusia – Putin
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 2 min read

Presiden Rusia, Vladimir Putin menyifatkan Malaysia sebagai rakan yang boleh dipercayai dan penting, terutama dalam konteks hubungan dua hala dan peranan serantau di Asia Tenggara.
Penghargaan itu dinyatakan semasa pertemuan rasmi beliau dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kremlin – kediaman rasmi Presiden Putin di Moscow sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Rusia bermula 13 hingga 16 Mei.
"Malaysia ialah rakan lama kami yang sangat boleh dipercayai dan penting, sama ada secara umum mahupun di Asia Tenggara," ujar Putin dalam ucapan alu-aluan beliau.
Presiden Rusia itu turut memaklumkan bahawa hubungan ekonomi antara kedua-dua negara kekal stabil meskipun terdapat sedikit penurunan dalam jumlah perdagangan dua hala tahun lalu.
"Suruhanjaya Antara Kerajaan perlu memberi perhatian terhadap perkara ini, mengenal pasti punca dan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan trend pembangunan yang positif dapat diteruskan," katanya dipetik laporan agensi berita Rusia, Sputnik.
Perdana Menteri tiba di Moscow pada jam 1.48 tengah hari waktu tempatan (6.48 petang waktu Malaysia) pada Selasa disambut dengan kawalan kehormat rasmi menjadikannya Perdana Menteri Malaysia pertama menerima penghormatan sedemikian dalam hampir dua dekad.
Lawatan ini yang menandakan detik penting dalam hubungan diplomatik Malaysia–Rusia itu meliputi beberapa program di Moscow dan Kazan, Tatarstan, termasuk pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya, Perdana Menteri Mikhail Mishustin.
Ia disertai beberapa menteri kabinet, antaranya Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Li Kang; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani
Sementara itu Anwar pada pertemuan dengan Putin menyifatkan Rusia sebagai rakan karib Malaysia, sambil menekankan bahawa negara menghormati Rusia serta menghargai kerjasama sedia ada.
Justeru beliau berharap pertemuan kali ini akan menjadi asas membuka ruang kepada perbincangan lanjut dan mesyuarat penting yang memperkukuh lagi hubungan dua hala.