
Lawatan rasmi Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim ke 9 buah negara antara Januari hingga Mac 2023 lalu berjaya dalam misinya menarik pelaburan ke negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, potensi pelaburan diraih negara dalam siri lawatan itu dianggarkan berjumlah RM184.73 bilion serta potensi eksport bernilai RM3.22 bilion.
"Misi utama yang digalas Perdana Menteri semasa lawatan antara lainnya adalah bagi meyakinkan bakal pelabur untuk melabur di Malaysia di samping memperkukuh, mendalami dan memperluas kerjasama dua hala antara Malaysia dan negara yang telah dilawati.
"....terutamanya dalam sektor kebudayaan dan pelancongan ke arah menggalakkan perhubungan yang lebih akrab dalam kalangan rakyat dan pertumbuhan sosio-ekonomi yang mampan, serta memupuk persefahaman yang lebih jitu antara kedua-dua buah negara,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen, semalam.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berhubung hasil lawatan PM.
Perdana Menteri dan delegasi kerajaan sebelum ini telah mengadakan lawatan kerja ke Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Thailand, Turkiye, Filipina, Arab Saudi, Kemboja dan China.
Antara program yang dilaksanakan sepanjang lawatan rasmi itu termasuklah mesyuarat tertutup bersama bakal pelabur, seminar dan mesyuarat meja bulat.
Ketika lawatan rasmi ke Arab Saudi dari 22 hingga 24 Mac 2023, Perdana Menteri menyaksikan pemeteraian dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dan Arab Saudi yang melibatkan kerjasama antaranya bagi pengeluaran cip untuk semi-konduktor termasuk pembukaan kilang di Negeri Sembilan dan di Arab Saudi serta aspek latihan kepada jemaah haji di 23 buah negara di rantau Asia dengan anggaran kos pelaburan berjumlah AS$50 juta.
Manakala ketika lawatan rasmi ke Kemboja, Anwar menyaksikan dua MoU ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan Kemboja berhubung pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja domestik dan penghantaran pulang pekerja.
Sementara itu jelas Armizan, lawatan rasmi PMi itu merupakan platform terbaik bagi mempromosikan Malaysia serta mampu memberi maklumat terkini kepada komuniti perniagaan antarabangsa mengenai kedudukan ekonomi dan persekitaran perniagaan di negara ini.
Comments