top of page

Malaysia Racism Report 2025 dilancar, kukuhkan perpaduan di era digital

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 6 days ago
  • 1 min read
Yuneswaran (kiri) melancarkan Malaysia Racism Report 2025 (Edisi ke-11)
Yuneswaran (kiri) melancarkan Malaysia Racism Report 2025 (Edisi ke-11)

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj, menegaskan kepentingan memperkukuh perpaduan nasional dalam menghadapi cabaran sosial yang semakin kompleks, khususnya dalam era digital masa kini.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Malaysia Racism Report 2025 (Edisi ke-11) di ibu negara hari ini.


"Dalam dunia yang semakin kompleks, cabaran perpaduan di Malaysia turut menjadi semakin berlapis. Perubahan sosial, persepsi masyarakat serta pengaruh media, terutamanya di ruang digital, menuntut kita untuk lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian," katanya.


Menurut beliau, kestabilan hubungan antara kaum yang dibina sekian lama boleh terjejas walaupun dengan sedikit ketegangan, justeru rakyat Malaysia perlu terus berpegang kepada nilai hormat dalam masyarakat majmuk.


"Hakikatnya, hanya sedikit ketegangan mampu menggugat kepercayaan yang telah dibina sekian lama. Justeru, kita perlu terus berpaksikan nilai hormat, kefahaman dan identiti bersama," ujarnya.


Tambah beliau, Kementerian Perpaduan Negara akan terus komited melaksanakan Dasar Perpaduan Negara melalui pelbagai inisiatif bagi mendekatkan masyarakat dan memperkukuh kepercayaan antara satu sama lain.


Bagaimanapun usaha itu, kata beliau memerlukan penglibatan semua pihak sama ada kerajaan, organisasi atau rakyat.


Dalam pada itu, Yuneswaran turut merakamkan penghargaan kepada Pusat KOMAS atas usaha berterusan selama lebih dua dekad dalam memupuk kesedaran serta dialog berkaitan perpaduan.


"Laporan ini menjadi peringatan penting bahawa usaha membina negara bangsa perlu berterusan dan inklusif," katanya.


Beliau menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum perlu terus dipelihara sebagai milik bersama yang kaya dengan kepelbagaian serta nilai.


"Tanggungjawab untuk memelihara perpaduan ini terletak di bahu kita semua," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page