top of page

Malaysia-Poland tingkat hubungan dua hala, kurangkan halangan dagang

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 10
  • 2 min read
PM Anwar menerima kunjungan Presiden Poland, Andrzei Duda di Perdana Putra, Putrajaya
PM Anwar menerima kunjungan Presiden Poland, Andrzei Duda di Perdana Putra, Putrajaya

Oleh: Helmi Mohd Foad


Malaysia dan Poland sepakat memperkukuh hubungan dua hala dengan memperluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang strategik demi manfaat bersama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Dalam sidang akhbar bersama Presiden Poland, Andrzej Duda di Putrajaya, Anwar berkata kunjungan rasmi tiga hari pemimpin negara Eropah itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam mempererat hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.


"Kami berbincang secara mendalam mengenai pelbagai isu, termasuk perkembangan serantau dan antarabangsa, serta bersetuju untuk memperkukuh lagi kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, keselamatan, pendidikan dan kebudayaan," kata Perdana Menteri.


Presiden Duda yang memegang jawatan Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) ketika ini, turut menyatakan komitmen Poland untuk memperkukuh kerjasama antara ASEAN dan EU, seiring dengan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.


Antara hasil pertemuan, kedua-dua pemimpin sependapat bahawa perdagangan dan ekonomi merupakan tonggak penting dalam hubungan dua hala.


Kedua-duanya negara juga sepakat untuk mengurangkan halangan perdagangan serta memperkukuh kerjasama dalam sektor agromakanan.


"Presiden Duda turut menyerahkan kepada saya dokumen yang menyenaraikan cadangan Poland bagi menghapuskan sekatan ke atas perdagangan produk agromakanan. Malaysia mengalu-alukan usaha ini dalam semangat perdagangan terbuka dan adil," kata Anwar.


Kedua-dua pemimpin juga mengulangi sokongan kuat terhadap rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (MEUFTA) dan mahu proses tersebut diselesaikan secepat mungkin.


Selain itu, Anwar dan Duda bersetuju meningkatkan kerjasama dalam transformasi digital, ekonomi hijau — khususnya tenaga hidrogen dan tenaga boleh diperbaharui — pengurusan sumber asli, teknologi maklumat, pengangkutan dan ekonomi maritim.


Dalam aspek keselamatan, kedua-dua negara berhasrat memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan serta memerangi jenayah terancang, imigresen haram dan pemerdagangan manusia.


"Kami juga sepakat untuk mempercepatkan rundingan perjanjian bantuan bersama dalam perkara jenayah," ujar Anwar.


Dari segi hubungan rakyat, kedua-dua pemimpin menekankan pentingnya memperluas pertukaran dalam bidang pendidikan, penyelidikan, latihan vokasional, budaya, pemeliharaan warisan negara serta pelancongan, demikian menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri.


Malaysia dan Poland turut bersetuju untuk memudahkan penerbangan terus antara kedua-dua negara dan memperbanyakkan pakej pelancongan bagi mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat.


Menyentuh isu antarabangsa, kedua-dua pemimpin sepakat bahawa keamanan global dan sistem berasaskan peraturan antarabangsa perlu diperkukuhkan, sejajar dengan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Presiden Duda turut berkongsi pandangannya mengenai situasi keselamatan di Eropah Timur, termasuk konflik di Ukraine.


Kedua-dua pemimpin menegaskan perlunya penyelesaian damai yang adil dan berkekalan sejajar dengan undang-undang antarabangsa.


Mereka turut menyuarakan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan di Gaza, serta mengecam sekeras-kerasnya serangan ke atas fasiliti kesihatan dan petugas kemanusiaan.


Mengakhiri sidang akhbar, Presiden Duda merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas layanan mesra sepanjang lawatan rasmi ini, serta menjemput Anwar untuk mengadakan lawatan balas ke Poland.


"Kami yakin dialog yang terbina hari ini akan membuka jalan kepada kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan Poland pada masa hadapan," katanya.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page