Malaysia perlu tegas tolak lantikan duta baharu AS - Raja Bahrin
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 3 min read

Lantikan Duta Besar Amerika Syarikat (AS) yang baharu ke Malaysia, dispekulasikan seorang propagandis ekstrem kanan penyokong Presiden Donald Trump seharusnya ditolak oleh negara ini.
Menurut Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Datuk Raja Bahrin Shah (gambar), kemungkinan lantikan itu setakat ini telah mencetuskan pelbagai komen negatif.
Katanya, ketika dunia sedang menyaksikan keengganan berterusan AS untuk mengawal tindakan Israel yang semakin ganas dan menjurus kepada pembunuhan beramai-ramai di Gaza, tindakan menghantar seorang diplomat bukan kerjaya, yang tidak berpengalaman, serta mempunyai latar belakang yang penuh kontroversi dianggap sebagai satu bencana diplomatik.
"Situasi ini juga berlaku pada masa Amerika Syarikat terlibat bersama Israel dalam program Bantuan Kemanusiaan yang sangat kontroversi di Gaza, yang telah menyebabkan ratusan kematian tragik dalam kalangan mereka yang datang untuk mendapatkan makanan dan bantuan kemanusiaan.
"Ratusan kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak bersenjata telah ditembak dan dibom hingga mati ketika cuba mendapatkan bantuan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Raja Bahrin turut mengingatkan bahawa beberapa hari lalu satu majlis memperingati Genosid Srebrenica telah diadakan di Kosovo, bagi mengenang pembunuhan beramai-ramai kira-kira 8,000 umat Islam Bosnia pada tahun 1995 – satu tragedi kemanusiaan yang mengejutkan dunia 30 tahun lalu.
Tragedi tersebut, katanya berlaku apabila pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Belanda telah gagal menjalankan tanggungjawab mereka, meninggalkan komuniti Islam yang sepatutnya dilindungi, lalu membiarkan mereka diserahkan kepada tentera Serbia.
Kegagalan tersebut— oleh sebuah negara Barat —, kata beliau, kini berulang pada tahun 2025 apabila AS terlibat dalam apa yang disebut sebagai Program Bantuan Kemanusiaan di Gaza bersama Israel.
Namun begitu, laporan menunjukkan bahawa umat Islam Palestin yang mendekati pusat bantuan telah ditembak oleh tentera Israel, sekali lagi menunjukkan kelemahan atau keengganan kuasa besar dunia untuk bertindak secara adil dan melindungi mangsa yang tertindas.
"Kejadian ini amat mengingatkan kita kepada kata-kata yang pernah dilafazkan selepas tragedi Bosnia dahulu: “Never again” — yang turut diulang selepas Holocaust terhadap orang Yahudi sewaktu Perang Dunia Kedua.
"Bagaimanapun kekejaman terhadap umat Islam seolah-olah terus berulang — di Bosnia pada tahun 1995, dan kini di Gaza pada tahun 2025.
"Rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa berasa amat marah dan kecewa melihat kekejaman yang terus berlaku tanpa tindakan tegas daripada kuasa-kuasa besar dunia," ujarnya.
Justeru, kata Raja Bahrin, dalam suasana yang sangat sensitif adalah amat tidak wajar sekiranya individu seperti Nick Adams — yang mempunyai latar belakang kontroversial dan dikenali sebagai penyokong tegar Presiden Donald Trump — dipertimbangkan untuk dilantik sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia.
"Perkara yang paling penting dan perlu diberi perhatian adalah kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, serta kecenderungan Amerika Syarikat untuk memperbesarkan isu China dalam kalangan negara-negara ASEAN.
"ASEAN mempunyai pendekatan dan tradisi tersendiri dalam menyelesaikan perbezaan dan pertikaian di rantau ini, yang sehingga kini berjaya mengekalkan kestabilan dan keamanan.
"Kehadiran seorang Duta Amerika Syarikat yang tidak berpengalaman dan lantang bersuara, serta mempunyai latar belakang yang kontroversial di Malaysia, berpotensi menggugat kestabilan rantau ASEAN, kerana Amerika mungkin akan menggunakan kedudukannya untuk membawa agenda peribadi dalam konflik ekonomi dan politik globalnya dengan China," jelasnya.
Tambah Raja Bahrin, Ukraine dan Israel merupakan kawasan konflik semasa yang dipengaruhi kuat oleh Amerika Syarikat, dan ramai penganalisis telah mengenal pasti Laut China Selatan sebagai satu lagi potensi titik panas, yang mungkin dieksploitasi oleh Amerika demi agendanya sendiri.
"AMANAH menggesa kerajaan Malaysia untuk mempertimbangkan dengan serius agar tidak menerima pelantikan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur.
"ASEAN telah berjaya mengekalkan keharmonian dan kestabilan yang sangat dihargai di rantau ini, dan terlalu berisiko untuk membenarkan pelantikan (seorang) yang tidak berpengalaman dan kontroversial merosakkan kestabilan serantau yang telah dibina dengan susah payah selama ini," katanya lagi.