Oleh: Datin Paduka Dr Tan Yee Kew
Populasi menua bukanlah satu isu baru. Ianya isu lama tetapi yang diabaikan. Ia tidak pernah diberi perhatian sewajarnya kerana di mata kebanyakan orang termasuk pembuat dasar dalam kerajaan, penduduk yang semakin tua hanyalah mengenai kebajikan orang tua, dan kepada mereka yang berkuasa dalam politik, orang tua adalah pelaburan yang tidak bagus.
Hakikatnya, penduduk yang semakin tua bukan sekadar masalah orang tua. Ianya mengenai ekonomi sesebuah negara.
Banci penduduk terkini menunjukkan pada tahun 2021, penduduk berumur 65 tahun ke atas merupakan 7% daripada jumlah penduduk dan 7.4% pada tahun 2022. Dalam tempoh sepuluh tahun, negara ini akan berhijrah kepada masyarakat menua. Pada masa sama, kadar kelahiran semakin menurun. Pada 2021, kadar kelahiran wanita dalam usia reproduktif menurun kepada 1.9, lebih rendah daripada kadar penggantian minimum 2.1.
Kesan terhadap ekonomi
Menurut kajian “Kesan Populasi Menua Terhadap Pertumbuhan Ekonomi Malaysia”, nisbah tanggungan akan mencapai 49.5 menjelang tahun 2040, iaitu bagi setiap 100 pekerja produktif, terdapat 49.5 kanak-kanak tidak produktif dan orang tua yang memerlukan sokongan mereka. Adakah ini beban yang mampu ditanggung oleh masyarakat kita?
Hari ini, hanya 16.5% daripada 15 juta tenaga kerja di negara ini yang dikenakan cukai pendapatan. Apabila bilangan penduduk di luar tenaga kerja meningkat jauh melebihi jumlah penyumbang cukai, yang tidak dapat dielakkan dalam negara yang semakin menua, kita mungkin tidak akan mampu untuk mendapat pendidikan dan penjagaan kesihatan percuma, perumahan awam kos rendah dan penyelenggaraan berkala kemudahan awam.
Populasi menua ini bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup, malah dapat memudaratkan ekonomi. Akibat dan kesan yang tidak dapat dielakkan daripada pengurangan simpanan dan pelaburan dalam negara menua adalah pembangunan ekonomi yang perlahan dan penciptaan pekerjaan. Negara-negara menua lain seperti Jepun dan beberapa negara Eropah terpaksa mengimport pekerja asing muda untuk meningkatkan produktiviti dan mengekalkan pembangunan ekonomi berterusan. Jika Malaysia gagal mengukuhkan ekonomi dalam tempoh 10 tahun akan datang dan tidak bersedia menangani populasi penduduk yang semakin tua, negara akan jatuh ke dalam krisis kemiskinan yang berterusan.
Secara asasnya terdapat dua aspek yang perlu ditangani berkaitan dengan populasi menua. Pertama, pengukuhan sistem perlindungan sosial dan kewangan untuk warga emas; kedua, meminimumkan kesan negatif terhadap ekonomi dengan meningkatkan produktiviti dan mengurangkan nisbah tanggungan.
Perlindungan sosial warga emas
Tidak lama lagi kita akan menghadapi masalah dan krisis penduduk semakin tua. Namun respons kerajaan seolah tidak peduli walaupun terdapat banyak amaran daripada kajian penyelidikan dan analisis statistik. Tiada pelan jangka panjang untuk menangani kesan ekonomi negatif yang timbul daripada populasi menua. Malah program kebajikan warga emas jelas tidak mencukupi. Sebagai contoh, bantuan kewangan bulanan RM300 kepada warga tua miskin tidak mampu membayar kos sara hidup; dan peruntukan Belanjawan 2022 untuk rumah orang-orang tua dan pusat rekreasi pula hanya RM27 juta.
Satu lagi contoh menunjukkan betapa sedikit keprihatinan kerajaan terhadap jaminan hari tua adalah pelepasan dana KWSP kepada pencarum untuk menyara perbelanjaan hidup mereka ketika pandemik. Menurut statistik KWSP, 70% daripada pencarum menggunakan semua simpanan KWSP mereka dalam 10 tahun pertama persaraan dan 70% mempunyai kurang daripada RM1,000 dalam akaun mereka. Selepas pengeluaran, berapakah baki untuk mereka bersara?
Hari ini, hanya 14 juta pekerja mencarum KWSP. Sebahagian besar daripada kumpulan bukan pencarum sudah pun berada dalam kumpulan B40 dan mengharungi hari tua akan menjadi cabaran besar buat mereka. Fakta yang tidak dapat dipertikaikan ialah kebanyakan pesara akan menjadi miskin apabila bersara.
Lain negara, lain pendekatan yang digunakan, mereka mempunyai cara berbeza menangani masalah populasi menua. Negara-negara maju seperti Australia, Kanada dan beberapa negara Eropah menyediakan pencen hari tua tambahan selain dana simpanan pekerja biasa. Pencen hari tua tersebut dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dan individu tersebut tidak perlu membuat sebarang caruman. Walau bagaimanapun, untuk melaksanakannya, negara-negara ini mesti mengenakan cukai pendapatan yang tinggi, malah ada setinggi 56%. India dan Singapura, sebaliknya, menggubal undang-undang mewajibkan kanak-kanak membiayai persaraan ibu bapa mereka.
Malaysia merupakan sebuah negara membangun, dan sistem perlindungan hari tua kita mungkin tidak setanding dengan negara yang lebih maju dan membangun. Walau bagaimanapun, apa yang pasti, Malaysia tidak boleh terus mengekalkan bilangan besar penduduk yang bekerja sendiri dan tanggungan daripada sistem perlindungan hari tua. Malaysia memerlukan pembaharuan dan perlu mewujudkan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan sistem perlindungan hari tua yang lebih berkesan.
Tindakan rentas kementerian
Masalah populasi menua merupakan masalah multidimensi. Ia tidak boleh diselesaikan dengan hanya membina beberapa pusat penjagaan warga emas atau rumah orang tua. Sebarang percubaan yang serius dan bermakna untuk menangani masalah itu mestilah menyentuh sistem percukaian, belanjawan negara, skim persaraan, struktur bandar, sistem penjagaan kesihatan dan perundangan. Negara mempunyai statistik dan kajian penyelidikan yang mencukupi untuk memandu keputusan yang baik. Apa yang negara kurang, adalah ‘Political Will’ dan perangkaan strategi dan rancangan merentas Kementerian, dan kemudian memantau implementasi dan pelaksanaannya.
Apabila seluruh negara bercakap tentang kepentingan dan potensi pengundi muda, ia mungkin tidak selaras dan tidak kena masanya dari segi politik untuk menyatakan masalah penduduk yang semakin tua. Tetapi, dalam tempoh sepuluh tahun pengundi berusia 18 tahun hari ini perlu menghadapi tekanan ekonomi dan kesusahan populasi yang semakin tua. Apakah jawapan yang kita ada untuk mereka?
_______________________________________________________________________________
Penulis merupakan Ahli Parlimen Wangsa Maju
Comments