Malaysia perlu manfaatkan ketahanan ekonomi hadapi krisis tenaga global
- Helmi Mohd Foad

- 9 hours ago
- 2 min read

Malaysia perlu memanfaatkan kelebihan sebagai negara yang berdaya tahan dalam menghadapi krisis tenaga global dengan penuh tanggungjawab, bukan sekadar berbangga, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong.
Beliau berkata demikian merujuk laporan oleh JP Morgan yang menyenaraikan Malaysia sebagai antara negara Asia yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi tekanan bekalan tenaga global.
Menurutnya, kedudukan Malaysia sebagai pengeksport tenaga khususnya gas asli cecair (LNG) memberi kelebihan sebagai ‘buffer’ ketika banyak negara lain berdepan kekurangan bekalan.
"Kekuatan Malaysia sebagai pengeksport tenaga memberi kelebihan ketika banyak negara lain berdepan kekurangan bekalan. Namun, kelebihan ini tidak bermakna kita kebal sepenuhnya daripada kesan krisis," ujarnya.
Beliau menegaskan rakyat tetap akan merasai tekanan melalui kenaikan harga barang, kos makanan dan keperluan asas, justeru keutamaan perlu diberikan kepada golongan yang memerlukan.
"Kekuatan Malaysia sebagai pengeksport tenaga khususnya dalam bentuk gas asli cecair (LNG) memberi “buffer” ketika banyak negara lain berdepan kekurangan bekalan.

"Namun kelebihan ini tidak bermakna kita kebal sepenuhnya daripada kesan krisis. Rakyat tetap akan merasai tekanan terutamanya melalui kenaikan harga barang, kos makanan dan keperluan asas," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, beliau menyambut baik usaha kerajaan dalam mengekalkan kestabilan fiskal serta mengawal inflasi.
"Saya juga menyambut baik usaha kerajaan dalam mengekalkan kestabilan fiskal dan mengawal inflasi. Langkah ini penting bagi memastikan ekonomi negara tidak terjejas secara mendadak, sekaligus melindungi kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang," katanya.
Sebagai Pengerusi Biro Perpaduan Nasional Parti Keadilan Rakyat, beliau turut menyeru semua pihak agar terus mengekalkan semangat perpaduan dalam menghadapi ketidaktentuan global.
"Kekuatan sebenar kita bukan hanya pada sumber yang dimiliki tetapi keupayaan untuk saling menyokong dan bekerjasama. Perbezaan pandangan tidak seharusnya memecahbelahkan kita," katanya.
Beliau menambah bahawa perbezaan pandangan perlu dijadikan asas kepada dialog matang dan tindakan inklusif demi kepentingan bersama.
"Sebagai wakil rakyat, saya komited untuk terus memantau keadaan ini, menyuarakan keperluan rakyat serta bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan kesejahteraan komuniti sentiasa terpelihara," katanya.
Menurut beliau, rakyat perlu menghadapi cabaran semasa dengan tenang, rasional dan bersatu hati sambil menghargai kestabilan yang dinikmati negara ketika ini.




Comments