Malaysia perlu kuasai AI tanpa terikat blok kuasa besar
- Suara Keadilan

- May 29
- 1 min read

Malaysia tidak perlu memihak kepada mana-mana kuasa besar dalam persaingan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang didominasi oleh Amerika Syarikat (AS) dan China.
Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, negara perlu memilih pendekatan pendekatan seimbang dan praktikal termasuk bekerjasama dengan semua pihak demi memastikan manfaat teknologi itu dinikmati rakyat.
"Fakta menunjukkan bahawa hari ini, AI diterajui oleh dua kuasa besar iaitu AS dan China. Kedua-dua negara berada di hadapan dari segi penyelidikan AI, pelaburan serta pengaruh global.
"Sebaliknya, bagi sebuah negara seperti Malaysia, penyelesaian atau pendirian praktikal kita ialah kita tidak perlu memilih mana-mana pihak," katanya dipetik.
Saifuddin berkata begitu semasa berucap dalam sesi panel di Forum Ekonomi ASEAN-GCC Fortune di Kuala Lumpur pada Rabu.
Tambah beliau, pendekatan terbuka dan tidak memihak akan memberi kelebihan kepada negara untuk berunding, berinovasi dan melindungi kepentingan nasional tanpa terikat kepada mana-mana blok.
Ia bermaksud, anak muda bebas menjalani latihan di Silicon Valley atau Shenzhen dan syarikat tempatan pula boleh belajar daripada pemain AI dari kedua-dua negara.
"Saya percaya ini merupakan manfaat jelas daripada pendirian kita yang memilih untuk menikmati kelebihan dari kedua-dua dunia.
"Kita bukan menumpukan kepada pembangunan teknologi AI itu sendiri, tetapi bagaimana kita boleh memanfaatkan aplikasi AI untuk menyelesaikan masalah rakyat. Itu keutamaan kita buat masa ini," katanya.









Comments