
Kontroversi laporan yang dikeluarkan oleh belas pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia Philip Alston yang ditolak oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini, perlu diteliti dalam kerangka baharu program pembasmian kemiskinan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, strategi baharu perlu diperbincangkan oleh kerajaan kerana persekitaran semasa yang kian berubah, terutama pasca pandemik Covid 19 yang menyaksikan hampir sejuta rakyat menganggur.
"Masalah yang perlu ditangani melibatkan jutaan rakyat adalah kemiskinan. Bila kerajaan mengenakan PKP menangani masalah Covid 19, ramai rupa-rupanya tidak punya simpanan dan hidup dalam keadaan tertekan.
"Sebelum itu, kita dikejutkan pada Ogos 2019 bila pelapor khas PBB Philip Alston menyampaikan rumusan tentang kemiskinan dan kritikan ke atas pertimbangan kerajaan yang menyebut kemiskinan tidak melebihi 0.4%.
"Di masa lalu bila angka ini dipertikai kerajaan menjawab kami akan perkenalkan indeks baru. Nisbi kemiskinan atau relatif kemiskinan. Indeks kemiskinan pelbagai dimensi dan sebagainya.
"Tujuannya untuk memberi gambaran kerajaan berhasil mengurangkan kemiskinan. Pendekatan ini tidak membantu sama sekali usaha kita menyelesaikan masalah," katanya dalam siaran langsung Facebook malam tadi.
Dalam sesi itu Anwar turut memberi contoh kajian yang dilakukan seorang pakar ekonomi dari Universiti Malaya, Dr Fatimah Kari yang melihat kemiskinan dari pelbagai dimensi, iaitu kesihatan, milikan rumah dan pendapatan. Beliau juga mengemukakan contoh laporan KWSP bahawa 84% pesara berada dalam kedudukan tidak cukup kewangan selepas tamat perkhidmatan.
Kajian juga, kata Anwar, menunjukkan wanita jauh lebih miskin berbanding lelaki, daripada segi pengangkutan, pendapatan, perumahan dan pendidikan. Etnik India bersara paling parah kedudukan ekonominya, diikuti masyarakat Melayu.
Sehubungan itu, Anwar sebagai Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus, Dewan Rakyat telah mengundang beberapa pakar bagi membentangkan laporan kadar kesenjangan dalam kalangan rakyat
Menurut Anwar, terdapat perakuan masalah sebenar kemiskinan jauh lebih besar daripada jumlah yang dinyatakan kerajaan.
"September 2019, Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus yang saya pengerusikan memanggil Prof Jomo, Prof Rajah Rasiah dan Dr Gomez untuk memberi pandangan kepada Ahli Parlimen dari pelbagai parti bertujuan memberi gambaran dan kritikan betapa perlunya kerajaan memberi gambaran yang munasabah.
"Ada akuan di situ, tidak semua sependapat. Tetapi sekurang-kurangnya pihak kerajaan ditekan supaya menerima fakta baharu. Kalau kerajaan anggarkan kemiskinan di Malaysia hanya 1 juta orang tetapi jika terbukti angkanya 6 juta maka program basmi kemiskinan perlu dilakukan mengikut angka yang munasabah.
"Ternyata, walaupun ada pengakuan hari ini dan kerajaan PN kata akan teliti semula namun nampak tidak ada kesungguhan dalam menyelesaikan masalah yang kita hadapi.
"Oleh yang demikian saya berpendapat, perlu kita terima kemiskinan yang ketara ini. Ia akan membantu menyediakan peruntukan, kemudahan dan prasarana yang akan berganjak daripada pendekatan sekarang," katanya.
Menurut Anwar lagi, tidak sewajarnya selepas 60 tahun merdeka kemiskinan masih buruk terutama dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera Sabah serta Sarawak
Kerajaan juga, katanya, tidak boleh meneruskan polisi lama menggunakan kuasa untuk memperkayakan sebilangan kecil rakyat. Tidak perlu kerajaan PN guna alasan mahu selamatkan orang Melayu tetapi tiada penyelesaian kepada masalah puluhan bilion ringgit wang saham bumiputera yang patut diadihkan sesama Melayu dan bumiputera miskin, lesap begitu sahaja.
Comments