
Insiden cubaan menculik warga palestin di Kuala Lumpur oleh agen perisikan Israel, Mossad yang didedahkan semalam mengejutkan seluruh negara.
Bagi Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Syed Ibrahim Syed Noh, percubaan penculikan itu tidak seharusnya berlaku di negara Islam berdaulat seperti Malaysia.
Katanya, insiden tersebut juga menunjukkan sikap ceroboh melanggar undang undang antarabangsa serta tindakan mengancam keselamatan dalam negara Malaysia yang dilakukan oleh rejim Israel.
"Saya terkejut dan berang dengan keadaan di mana agensi perisik Israel dilihat berterusan menceroboh semua norma dan undang-undang antarabangsa, secara terang-terangan menyerang rakyat Palestin di dalam dan luar Palestin, serta mengancam keselamatan dan kedaulatan Malaysia.
"Insiden dan jenayah sedemikian mesti ditangani dan dihentikan dengan mengeluarkan pendirian yang jelas dan tegas, termasuk menolak dan mengutuknya, serta memastikan mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan dengan hukuman yang paling berat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Ledang itu, negara tidak boleh bertolak ansur dengan serangan haram dan melemahkan kedaulatan serta mempermalukan pihak berkuasanya.
"Kerajaan, khususnya Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan mesti memandang serius hal ini, menyiasat, menjelaskan dan mengambil tindakan segera.
"Kerajaan wajar menghentikan sebuah agensi jenayah (agen Mossad) daripada beroperasi," katanya lagi.
Semalam media NST melaporkan ejen Mossad menjalankan operasi di Malaysia memerangi Hamas yang dilabel rejim Zionis sebagai pengganas.
Menurut akhbar itu, Mossad merekrut penduduk tempatan dalam penculikan pada 28 September lalu terhadap pakar pengaturcaraan komputer Palestin berhampiran Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun mangsa berjaya diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor dan Melaka dari 29 September hingga 4 Oktober lalu.
Seramai 11 individu berusia 21 hingga 40 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada 14 Oktober berhubung penculikan itu.