top of page

Malaysia perlu akses metadata banteras jenayah, penipuan siber - Pakar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 18
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Kerajaan perlu mewujudkan rangka kerja standard mengenai penyimpanan dan pemeliharaan data komunikasi bagi membanteras jenayah serius termasuk penipuan siber, eksploitasi kanak-kanak serta keganasan, demikian menurut pakar kriminologi.


Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universi Malaya, Dr Haezreena Begum Abdul Hamid berkata akses segera kepada metadata seperti rekod panggilan, alamat IP dan data geolokasi adalah penting untuk siasatan pantas serta memastikan bukti sah digunakan di mahkamah.


"Dari sudut perundangan, ia memastikan bukti diperoleh secara sah, disimpan dengan betul dan boleh diterima di mahkamah selain membolehkan tindakan segera diambil sebelum data kritikal terpadam.


"Dari sudut kriminologi pula, ia menyokong pengesanan suspek dengan cepat, memutuskan rangkaian jenayah dan melindungi mangsa," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Haezreena Begum Abdul Hamid
Dr Haezreena Begum Abdul Hamid

Haezreena berkata, pihaknya menyokong cadangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menubuhkan rangka kerja standard penyimpanan dan pemeliharaan data sebagai langkah menutup jurang keterangan serta memastikan semua penyedia perkhidmatan tertakluk kepada kewajipan undang-undang yang sama.


Mengambil contoh antarabangsa, Haezreena berkata Australia mewajibkan penyimpanan metadata selama dua tahun di bawah Telecommunications (Interception and Access) Amendment (Data Retention) Act 2015, yang terbukti membantu siasatan jenayah siber, eksploitasi kanak-kanak dan kes keganasan.


Namun kata beliau langkah ini mesti dilaksanakan dengan kawalan privasi yang ketat termasuk pengawasan kehakiman, had kepada data metadata sahaja serta tempoh simpanan yang munasabah.


"Tanpa rangka kerja konsisten, risiko terhadap keselamatan awam amat serius. Bagi aspek perundangan, ia boleh menyebabkan bukti dipadam sebelum sempat diakses secara sah sekali gus menjejaskan pendakwaan.


"Dari sudut kriminologi pula, kelewatan mengakses data boleh memberi ruang kepada penjenayah mengeksploitasi kelemahan dasar penyedia perkhidmatan," jelasnya.


Haezreena turut mengakui kebimbangan awam terhadap isu privasi adalah berasas, namun menegaskan penguatkuasaan dengan semak imbang yang telus boleh mengekalkan kepercayaan masyarakat.


"Persepsi bahawa penyimpanan metadata sama seperti memintas kandungan komunikasi adalah tidak tepat. Apa yang diperlukan ialah ketelusan, pengauditan bebas serta laporan awam mengenai penggunaan rangka kerja ini.


"Penglibatan masyarakat sivil dan sektor teknologi juga penting bagi memastikan keseimbangan antara keselamatan dan hak privasi," katanya.


Dalam pada itu beliau menggesa orang ramai menyertai rundingan awam yang sedang dijalankan MCMC agar pandangan pelbagai pihak dapat diambil kira dalam merangka dasar tersebut.


"Penyimpanan dan pemeliharaan data ialah alat penting untuk penguatkuasaan undang-undang moden tetapi ia mesti dilaksanakan dalam kerangka yang telus, seimbang dan menghormati hak asasi," tegasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page