Malaysia perkukuh peranan sebagai hab halal global – PM Anwar
- Suara Keadilan

- Sep 19
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa industri halal bukan sekadar label komersial tetapi lambang amanah, integriti dan nilai sejagat yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi global serta menyumbang besar kepada pembangunan negara.
Perdana Menteri berkata konsep 'Halalan Toyyiban' harus difahami secara menyeluruh kerana ia melangkaui aspek makanan dan minuman semata-mata, malah merangkumi nilai kebersihan, keadilan, tanggungjawab dan akauntabiliti.
"Halal adalah lebih daripada label, ia simbol kepercayaan antarabangsa. Ia bukan hanya soal keuntungan tetapi berpaksikan nilai, belas ihsan, integriti dan keadilan.
"Malah ia menjadi bukti kepada dunia bahawa perdagangan dan pelaburan boleh digerakkan dengan berpaksikan nilai kemanusiaan," katanya dipetik dalam ucaptama pada Majlis Perasmian Global Halal Summit (GHaS) 2025 dan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia kini menjadi peneraju global dalam pensijilan halal dengan hampir 10,000 syarikat dengan lebih 80 peratus daripadanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah mendapat pengiktirafan JAKIM selain rangkaian kerjasama dengan lebih 80 badan pensijilan halal di 45 negara.
"Bayangkan dalam tempoh hanya dua minggu, kelulusan sijil halal dapat diberikan berbanding enam bulan sebelum ini, dengan piawaian lebih ketat dan pemantauan lebih teliti.
"Ini pencapaian yang membuktikan kesungguhan kita," katanya sambil merakam penghargaan kepada Ahmad Zahid kerana menerajui usaha memperkukuh sistem pensijilan halal negara.
Malaysia turut mengekalkan kedudukan teratas dalam Indeks Ekonomi Islam Global (GIEI) selama 11 tahun berturut-turut, dengan keunggulan dalam bidang kewangan Islam, makanan halal serta media dan rekreasi, kata beliau.
Menurut Perdana Menteri, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), sektor halal dijangka menyumbang RM231 bilion atau 10.8 peratus kepada KDNK menjelang 2030, sejajar dengan nilai pasaran halal global yang diunjur mencecah RM22.88 trilion.
Eksport produk dan perkhidmatan halal Malaysia pula disasarkan mencapai RM80 bilion menjelang tempoh sama, jelasnya.
Beliau berkata ekosistem halal kini semakin meluas meliputi sektor kesihatan, perubatan, kosmetik, pelancongan dan kewangan Islam, selain menjadi tarikan pelancong Muslim di seluruh dunia.
"Industri halal adalah showcase terbaik kepada dakwah kerana kita menzahirkan mesej Islam melalui tindakan, watak dan keyakinan kita terhadap integriti serta akauntabiliti," katanya.
Sehubungan itu, Anwar menggesa syarikat-syarikat Malaysia untuk menguasai perdagangan digital, dengan kerajaan memperkenalkan platform MADANI Digital Trade (MDT) berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi memudahkan padanan perniagaan rentas sempadan.
"Dengan teknologi baharu seperti big data, pengkomputeran awan dan AI, kita mahu MDT menjadi pemangkin baharu industri halal dan pemacu kepada keupayaan syarikat Malaysia khususnya PKS, menembusi pasaran antarabangsa," katanya.
Anwar turut menekankan bahawa dasar dan keputusan kerajaan, termasuk dalam isu antarabangsa seperti penderitaan rakyat Palestin di Gaza, perlu berpaksikan prinsip keadilan, nilai kemanusiaan dan keberkatan rezeki yang selari dengan roh halal itu sendiri.









Comments