Malaysia perkukuh diplomasi Parlimen ASEAN - Johari Abdul
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Presiden Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) 2025, Tan Sri Johari Abdul, mengadakan kunjungan hormat ke atas Speaker Parlimen Thailand, Wan Muhamad Noor Matha, di Bangkok pada Rabu.
Dalam satu kenyataan, Johari berkata pertemuan itu bertujuan memperkukuh lagi peranan strategik Malaysia dalam diplomasi Parlimen di rantau ASEAN.
"Pertemuan ini menandakan satu lagi langkah strategik ke arah ASEAN yang lebih inklusif, berdaya tahan dan harmoni. Saya percaya diplomasi Parlimen bukan sekadar pertemuan formal, tetapi jambatan antara rakyat, dasar dan masa depan rantau ini," katanya.
Menurut Johari, Wan Muhamad Noor menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi AIPA 2025, di samping merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan Malaysia menganjurkan siri mesyuarat penting AIPA sebelum ini.
Antara program tersebut termasuk Mesyuarat Ahli Parlimen Wanita AIPA (WAIPA) di Sarawak, Mesyuarat Ahli Parlimen Muda AIPA (YPA) di Selangor, Mesyuarat ASEAN-AIPA di Kuala Lumpur, serta Mesyuarat Majlis Penasihat AIPA Mengenai Dadah Berbahaya (AIPACODD) di Pahang.
"Kami juga membincangkan usaha memperkukuh kerjasama serantau melalui AIPA, khususnya dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
"Kami sepakat bahawa Perhimpunan Agung AIPA bukan sahaja menjadi platform menyatukan pendirian Parlimen ASEAN, malah medan menangani isu-isu kemanusiaan dan keselamatan serantau seperti konflik Palestin serta ketegangan geopolitik di Iran," jelas Johari.
Wan Muhamad Noor turut menyatakan kesediaan Thailand untuk meraikan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia-Thailand pada 2027, dan berharap hubungan Parlimen kedua-dua negara terus diperkukuh menjelang detik bersejarah itu.
Beliau juga menjemput semula Ahli-ahli Parlimen Muda Malaysia ke Thailand sebagai sebahagian daripada usaha memperluas kefahaman rentas budaya dan membina asas kepimpinan serantau yang progresif.
Comments