top of page

Malaysia percepat proses import daging, ayam Belanda dari Rusia

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • May 15
  • 2 min read

Menteri Pertanian Mohamad Sabu (tiga dari kiri) antara yang kanan dalam delegasi Malaysia ke Rusia
Menteri Pertanian Mohamad Sabu (tiga dari kiri) antara yang kanan dalam delegasi Malaysia ke Rusia

Oleh: Helmi Mohd Foad


Malaysia akan mengimport ayam Belanda dari Rusia yang dijangka direalisasikan menjelang sambutan Krismas pada hujung tahun ini, selaras dengan usaha kerajaan dalam memastikan kepelbagaian sumber bekalan makanan negara, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.


Beliau yang menyertai delegasi lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia berkata perkara itu antara yang dibincangkan bersama para pemain industri utama negara itu di Moscow hari ini.


"Pertemuan ini telah membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan produk pertanian.


"Antara fokus utama perbincangan adalah berkaitan potensi eksport daging dan ayam belanda dari Rusia ke pasaran Malaysia," katanya dalam kenyataan di Facebook.


Mohamad berkata, Perdana Menteri telah memberikan jaminan untuk mempercepatkan segala proses berkaitan permohonan dan kelulusan rasmi.


"Saya turut menyatakan komitmen penuh untuk memastikan Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan dimuktamadkan sebelum penghujung tahun ini.


Dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Rusia Mikhail Mishutin pada tengah hari tadi, Mohamad berkata beliau telah menyerahkan surat setuju terima untuk mempercepatkan proses tandatangan MoU, serta memberikan kelulusan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Malaysia untuk menjalankan pemeriksaan di beberapa fasiliti penternakan unggas di Rusia.


"Saya percaya pencapaian ini akan menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat dalam bidang keselamatan makanan dan perdagangan agrikultur antara kedua-dua negara," ujar beliau.


Terdahulu, Anwar mengetuai delegasi Malaysia pada hari kedua lawatan rasminya ke Rusia dengan menghadiri mesyuarat meja bulat bersama para pemimpin industri Persekutuan Rusia, lapor berita agensi nasional Bernama.


Mesyuarat itu disertai sebanyak 24 syarikat utama di Rusia dan dua Majlis Perniagaan yang diwakili pemimpin industri bagi membincangkan kerjasama strategik dalam meningkatkan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Rusia.


Semasa mesyuarat tersebut, para pemimpin industri Rusia menyatakan hasrat untuk meneroka kerjasama baharu dalam pelbagai bidang meliputi pembuatan makanan, pertanian, teknologi, perkhidmatan logistik, pembangunan hartanah dan perkhidmatan kewangan.


Antara syarikat yang terlibat ialah Oil Partners, Sportmaster dan Russian Direct Investment Fund.


Turut serta Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Li Kang, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.


Pada 2024, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion.


Eksport utama Malaysia ke Rusia merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, kelengkapan dan alat ganti, serta makanan yang diproses.

Comentarios


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page