Malaysia pelawa firma pertahanan, aeroangkasa global jadi rakan strategik
- Helmi Mohd Foad

- 3h
- 2 min read

Malaysia mempelawa syarikat pertahanan dan aeroangkasa antarabangsa untuk meneroka keupayaan industri tempatan serta menjadikan negara ini sebagai rakan strategik dalam rantaian bekalan global.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengeluar Malaysia telah membuktikan kemampuan apabila berjaya menembusi rantaian bekalan komersial paling mencabar di dunia menerusi budaya kerja berteraskan ketepatan, disiplin dan akauntabiliti.
"Kepada syarikat utama dan pembekal Tier 1 di sini, datanglah dan kenali pengeluar Malaysia. Luangkan masa bersama mereka. Sebahagian daripada anda telah pun mula berbuat demikian dan saya mengajak yang lain mempertimbangkannya dengan serius," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Defence Services Asia (DSA) & National Security Asia (NATSEC) 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi DSA Exhibition and Conference Sdn Bhd Tan Sri Asmat Kamaludin serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia kini berada pada kedudukan kukuh di mata pelabur global apabila berjaya mencatat aliran masuk dana asing yang memberangsangkan meskipun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik.
"Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dana global telah membeli lebih dua bilion dolar bon Malaysia. Ini merupakan aliran masuk tertinggi dalam tempoh sepuluh bulan," jelasnya.
Menurut beliau, ringgit turut muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia selama dua tahun berturut-turut manakala ekonomi negara berkembang 5.2 peratus tahun lalu.
Tambahnya Malaysia turut merekodkan pelaburan pada tahap tertinggi, dipacu sektor pembuatan, semikonduktor dan aeroangkasa termasuk dari Amerika Syarikat, China, Jerman serta beberapa negara Eropah.
"Semua ini tidak datang dengan sendiri. Ia hasil komitmen berterusan terhadap reformasi dasar serta penglibatan aktif dengan syarikat dan pengurus dana antarabangsa," katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia mempunyai kekuatan industri yang jarang diketengahkan rakyat sendiri.
"Negara ini menghasilkan produk yang benar-benar diperlukan dunia," katanya.
Beliau berkata syarikat tempatan kini menghasilkan struktur sayap bagi pesawat komersial utama dunia selain komponen berketepatan tinggi untuk enjin aero bagi penerbangan jarak jauh.
Malah, katanya kilang semikonduktor di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah pula terlibat dalam pemasangan, pengujian dan pembungkusan cip yang digunakan dalam sistem pertahanan dan keselamatan.
"Sebuah syarikat milik Malaysia memegang status pembekal Tier 1 kepada pengeluar enjin aero global terkemuka, menghasilkan komponen yang hanya dipercayai kepada sebilangan kecil negara," katanya.
Menyentuh dasar luar negara, Anwar berkata Malaysia kekal dengan pendirian berkecuali aktif dan prinsip kepusatan ASEAN yang membolehkan negara berurusan dengan semua pihak tanpa terikat kepada blok tertentu.
"Pembekal Malaysia boleh memasuki rantaian bekalan anda tanpa komplikasi politik yang menjadikan keputusan perolehan sukar di tempat lain. Dalam suasana semasa, ini adalah pertimbangan komersial yang nyata," katanya.
Perdana Menteri turut memberi jaminan kerajaan akan memastikan perlindungan harta intelek, penguatkuasaan kawalan perdagangan strategik serta kepastian undang-undang bagi menyokong pertumbuhan industri pertahanan negara.
"Harta intelek akan dilindungi secara cepat dan boleh dipercayai. Kontrak akan dihormati. Undang-undang akan dikenakan secara sama rata kepada semua pihak tanpa pengecualian," katanya.




Comments