top of page

Idea MB Sanusi kereta mewah dikecuali cukai di Langkawi rugikan negara

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • Apr 20
  • 2 min read

Cadangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar cukai dikecualikan ke atas kenderaan mewah di Langkawi tidak menggambarkan pendirian membela rakyat miskin, kata seorang penganalisis politik.


Aktivis Pakatan Harapan, Syam Ghaz (gambar) berkata langkah kerajaan yang mahu mengaktifkan semula ekonomi Langkawi yang malap dipolitikkan oleh Sanusi yang mahu kereta mewah dikecualikan cukai.


"Kerajaan Pusat membela rakyat miskin, kenderaan RM300,000 ke bawah pengecualian cukai macam biasa, cuma kenderaan mewah lebih RM300,000 sahaja dikenakan cukai," katanya dalam hantaran di Facebook.


Syam Ghaz berkata, isu berkenaan menjadi kecoh semata-mata kerana terdapat desakan supaya kenderaan mewah menikmati status bebas cukai di Langkawi.


"Isu ini jadi kalut dan dijadikan isu politik kerana Sanusi nak kenderaan mewah juga dikecualikan cukai. Situ sahaja duduk isu ini," katanya.


Beliau menyatakan pelbagai barangan lain di Langkawi seperti coklat, manisan, barangan dapur, minyak wangi, kosmetik, pakaian dan aksesori masih kekal menikmati status bebas cukai.


Menurut Syam Ghaz, tindakan mengenakan cukai ke atas rokok, vape, tembakau, alkohol serta kenderaan mewah mampu meningkatkan hasil negara sehingga berbilion ringgit setahun.


"Dengan kerajaan kenakan cukai rokok, vape, tembakau, alkohol dan kereta mewah, kerajaan dapat kutip lebih RM5 bilion setahun. Duit itu banyak boleh guna untuk pembangunan Kedah," katanya.


Beliau turut mempertahankan tindakan mengenakan cukai terhadap kereta mewah kerana golongan berkemampuan sepatutnya menyumbang kepada hasil negara.


"Bab kereta mewah lebih RM300,000 memang perlu kena cukai. Takkan nak beli Lamborghini, Ferrari dan Rolls-Royce pun nak lari cukai? Mereka dah kaya raya, biarlah mereka bayar," katanya.


Dalam pada itu, beliau juga membangkitkan isu ketirisan lampau melibatkan kemasukan kenderaan mewah ke Langkawi termasuk pendedahan Ketua Audit Negara pada 2022 berhubung kehilangan hasil cukai serta tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Eagle yang menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen pengurangan duti.


Menurut beliau, langkah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bertujuan memastikan Langkawi tidak lagi menjadi pusat ketirisan dan penyeludupan.


"Tindakan PM Anwar adalah untuk memastikan Langkawi tidak menjadi syurga ketirisan bagi barangan yang mendatangkan beban kesihatan dan penyeludupan, sambil mengekalkan daya tarikan pelancongan melalui barangan lain."


Beliau berkata hasil kutipan cukai yang dipertingkatkan kini disalurkan semula kepada rakyat menerusi program bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).


Sebelum ini laporan media tempata menyebut Sanusi berharap senarai barang bebas cukai di Pulau Langkawi ditambah sebagai daya penarik kehadiran pelancong ke pulau pelancongan itu. Hal itu termasuk kereta mewah yang kini dikenakan cukai.


"Apabila orang kaya mai (datang), beli kereta mahal dengan harga yang murah, dia berbelanja di Langkawi.


"Dia simpan kereta di situ pun berbayar. Dia bukan percuma. Jadi itu pun ada spillover (limpahan) pada sektor ekonomi di Langkawi. Bagilah kereta mahal itu dijual (di Langkawi)," katanya dipetik The Vocket.


Langkawi diberi status pulau bebas cukai mulai 1 Januari 1987 sebagai langkah merancakkan pelancongan dan ekonomi setempat.


Bagaimanapun, mulai 1 Januari 2021, kerajaan yang ketika itu diterajui Perikatan Nasional (PN) mengenakan semula cukai ke atas rokok dan produk tembakau di Langkawi.


Langkah tersebut menyebabkan Langkawi tidak lagi menikmati status bebas cukai sepenuhnya seperti sebelumnya.


Dalam Belanjawan 2026, kerajaan Madani mengumumkan mulai 1 Januari 2026, pengecualian cukai kenderaan di Langkawi dan Labuan hanya diberi kepada kereta bernilai RM300,000 ke bawah


Pada April 2026, kerajaan memaklumkan cadangan untuk meneliti semula pemulihan status bebas cukai penuh Langkawi sebagai sebahagian usaha merancakkan semula ekonomi dan pelancongan pulau itu

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page