Malaysia pastikan kepengerusian ASEAN tinggalkan kesan positif - PM
- Suara Keadilan

- Aug 9
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Malaysia akan memastikan kepengerusian ASEAN tahun ini meninggalkan kesan bermakna dan manfaat kekal buat seluruh komuniti serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia memikul amanah besar untuk mengemudi rantau ini di tengah-tengah cabaran geopolitik yang semakin kompleks, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober nanti.
Amanah ini bukan sekadar simbolik, dunia sedang memerhati dan kita harus pastikan kepengerusian ini meninggalkan kesan yang bermakna dan manfaat yang tersemat utuh buat seluruh komuniti ASEAN," katanya dalam hantaran Facebook.
Kenyataan itu menyusul sambutan ulang tahun ke-58 ASEAN di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Terdahulu, menerusi ucapan di majlis itu Perdana Menteri menekankan bahawa perpaduan ASEAN kini lebih penting berbanding sebelum ini bagi menghadapi persaingan geopolitik, pemecahan ekonomi dan ketidaktentuan global.
Sementara itu sebagai mengulas kejayaan Malaysia membantu menyelesaikan konflik antara Thailand dan Kemboja, Anwar menyifatkannya sebagai satu pencapaian penting.
Pencapaian itu jelasnya bukti nyata komitmen Malaysia sebagai pemacu keamanan dan pendamai serantau.
"Kemajuan yang dicapai dalam rundingan tersebut cukup luar biasa. Ia mengingatkan kita semua bahawa tanggungjawab ASEAN bukan hanya menjamin keamanan antara negara, tetapi juga memperkukuh kedamaian dan kestabilan dalam negara masing-masing.
"Kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan dan mandat daripada rakan-rakan ASEAN.
"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia dalam memikul peranan penting ini," tambahnya.









Comments