Malaysia milik semua rakyatnya, Wei Kiat bidas MB Sanusi
- Suara Keadilan
- 8 hours ago
- 2 min read

Pemimpin politik pembangkang perlu menghentikan naratif berbaur perkauman yang boleh menghakis semangat kebersamaan rakyat, kerana Malaysia merupakan tanah air kepada semua warganegaranya tanpa mengira kaum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat (gambar) menempelak kenyataan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ceramah politiknya kelmarin yang mendakwa 'Cina mempunyai negara China dan India mempunyai negara India'.
"Kenyataan Pengarah Pilihan Raya PN, Sanusi Md Nor bahawa “Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China” tidak membantu menghentikan kitaran (perkauman) ini.
"Sebagai pemimpin politik, tanggungjawab kita ialah mendamaikan keadaan, bukannya mengukuhkan persepsi bahawa kaum Cina dan India mempunyai “negara lain”.
"Bagaimana rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India mahu merasakan diri mereka benar-benar sebahagian daripada negara ini jika pemimpin sendiri terus mengulangi naratif bahawa “orang Cina ada China” dan “orang India ada India”?" tanyanya.
Wei Kiat yang juga Ketua Cabang KEADILAN Selayang berkata, sesuatu yang memalukan apabila rakyat biasa kadangkala lebih matang daripada pemimpin politik.
Katanya, di media sosial boleh ditemui cerita seorang mekanik Melayu sanggup menghulurkan bantuan kepada seorang bapa tunggal Cina yang terkandas apabila motosikalnya rosak di tengah malam. Seorang pemandu lori berbangsa Cina pula sanggup mempertaruhkan nyawanya menahan sebuah bas ekspres yang hilang kawalan demi menyelamatkan 21 orang penumpang tanpa mengira kaum mereka.
"Hakikatnya, rakyat Malaysia sedar bahawa ini bukan soal kaum tetapi bagaimana nilai belas kasihan, semangat saling membantu sesama rakyat Malaysia, menjalinkan rakyat Malaysia. Belajarlah daripada rakyat, YAB Menteri Besar Kedah," bidasnya.
Bagaimanapun Wei Kiat mengakui hubungan emosi masyarakat Cina terhadap China mempunyai asas budaya, bahasa dan sejarah, sama seperti solidariti masyarakat Melayu Islam terhadap Palestin yang didorong oleh ikatan agama.
"Mungkin konteksnya berbeza, tetapi saya melihat asas ikatan itu agak sama. Masyarakat Melayu Muslim di Malaysia bersolidariti dengan saudara seagama yang dizalimi di Gaza," katanya.
Namun menurut beliau, masyarakat Cina di Malaysia telah menerima identiti mereka sebagai rakyat negara ini sejak negara mencapai kemerdekaan.
"Wujud ikatan bahasa, budaya dan latar belakang sejarah. Namun hakikatnya, masyarakat Cina Malaysia telah menerima identitinya sebagai rakyat Malaysia sejak zaman Merdeka lagi," tegas beliau.
