Malaysia - Mesir kukuh kerjasama, meterai empat MoU strategik


Malaysia dan Mesir bersetuju memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, kesalinghubungan udara serta sektor strategik termasuk semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E), pertanian dan farmaseutikal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Mesir merupakan rakan penting Malaysia di rantau Arab dan Afrika, dengan potensi besar untuk meneroka peluang ekonomi baharu yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Menurut beliau, potensi kerjasama itu merangkumi usaha meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan, memperkukuh kesalinghubungan udara serta meneroka peluang dalam sektor berteknologi tinggi dan industri utama.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar bersama Presiden Republik Arab Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) yang meliputi empat bidang utama, iaitu pemerkasaan wanita, pendidikan tinggi, pelancongan serta promosi dan pemudahcaraan pelaburan.
Pertukaran MoU itu bertujuan membuka ruang kepada perkongsian kepakaran, pembangunan kapasiti dan penerokaan peluang kerjasama baharu antara kedua-dua negara.
Kerjasama berkenaan turut menyediakan asas untuk memperkukuh hubungan antara institusi, memperluas jaringan pelaburan serta meningkatkan pertukaran pengetahuan dalam bidang yang dipersetujui.
Anwar berkata, segala usaha yang dilaksanakan perlu diterjemahkan kepada hasil nyata, khususnya dalam memperluas peluang ekonomi dan membawa manfaat bersama kepada rakyat Malaysia dan Mesir.
Beliau berharap kerjasama yang diperkukuh menerusi perbincangan dua hala dan pemeteraian MoU itu dapat membuka lebih banyak peluang pada masa hadapan, sekali gus mempererat hubungan antara kedua-dua negara.
Kerjasama Malaysia-Mesir ini mencerminkan komitmen berterusan untuk mengembangkan hubungan dua hala melalui perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan dan pembangunan kapasiti.




Comments