Malaysia dijangka menuju negara dengan populasi warga tua yang semakin meningkat berikutan kekurangan bilangan anak per keluarga.
Menurut Ahli Dewan Negara, Fadhlina Sidek, Malaysia perlu mempersiapkan diri menjadi negara tua dengan memperkenalkan skim insuran sosial sebagai jaminan kepada warga emas dalam aspek kesihatan dan kebajikan.
"Skim insuran sosial perlu diperkenalkan sebagai satu jaminan pendapatan asas untuk hari tua. Malaysia sedang menghadapi proses penuaan yang pantas, perubahan struktur keluarga dan kekangan sokongan kewangan keluarga.
"Kebimbangan utama adalah Malaysia dijangka akan mencatatkan dua kali ganda saiz warga emas berumur 65 tahun daripada tujuh peratus (7%) pada 2020 kepada empat belas peratus (14%) pada 2045, sekaligus beralih daripada status “masyarakat menua” kepada masyarakat tua dalam tempoh 25 tahun.
"Penglibatan pasaran buruh yang lebih rendah dan keupayaan untuk bekerja yang semakin merosot turut menjadikan warga emas
terdedah kepada kemiskinan.
"Sistem persaraan sedia ada masih belum mampu memberi perlindungan kepada warga emas. Skim caruman KWSP mandatori hanya untuk pekerja yang mempunyai majikan yang jelas sedangkan bagi mereka yang bergaji rendah atau pekerjaan yang tidak tetap, simpanan untuk persaraan adalah tidak mencukupi atau tidak ada langsung," katanya dalam perbahasan di Dewan Negara sesi pagi.
Selain itu, beliau juga menyentuh isu pelaksanaan skim-skim bantuan pekerja oleh kerajaan dan setakat mana skim i-Suri yang diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan lalu diteruskan.
"Selain majikan dan pekerja, penglibatan pihak kerajaan sebagai pencarum ketiga dicadangkan bagi memperkukuh sistem insurans sosial khususnya bagi yang berdepan masalah untuk mencarum.
"Geran tunai bersalin bukan sahaja menyediakan jaminan pendapatan asas bersalin tetapi perlindungannya haruslah secara progresif melibatkan manfaat jagaan bersalin yang lain termasuk elaun cuti paterniti.
"Wanita merupakan golongan rentan yang seringkali didiskriminasi baik pelbagai dimensi. Justeru, saya ingin bertanya apakah status
I-Suri yang pernah dibuat oleh Kerajaan Pakatan Harapan bagi memastikan wanita yang suri rumah juga mendapat perlindungan
dan manfaat dari KWSP? Apakah keberkesanan program ini dan adakah penerusan serta penambahbaikan program itu?" katanya.
Fadhlina juga menyentuh isu manfaat kanak-kanak yang sewajarnya menjadi agenda utama kerajaan bagi membangunkan generasi masa hadapan negara.
"Kanak-kanak meliputi dua 28.3% daripada keseluruhan jumlah penduduk Malaysia pada tahun 2020. Pembangunan sosioekonomi kanak-kanak adalah antara isu utama yang disasarkan dalam Matlamat Pembangunan Mampan. Oleh itu, kerajaan perlu sentiasa memberi keutamaan kepada aspek kesejahteraan dan kelestarian hidup kanak-kanak.
"Merujuk laporan Khazanah Research Institute, dicadangkan agar diwujudkan skim manfaat kanak-kanak sejagat yang menyediakan pendapatan asas sejagat untuk semua kanak-kanak dan keluarga mereka.
"Perlindungan sosial adalah penting untuk kanak-kanak kerana mereka berada dalam golongan umur rentan memandangkan cabaran dihadapi oleh kanak-kanak dari segi pendidikan, kesihatan dan pemakanan adalah meluas dan merentas semua segmen masyarakat.
"Sejauh manakah kerajaan melihat kanak-kanak sebagai aset pembangunan negara dan berapakah yang ingin kerajaan peruntukan bagi membangun kanak-kanak yang lebih terampil dan maju kehadapan tanpa ada keterasingan. Hal ini bagi memastikan semua kanak-kanak mendapat manfaatnya," katanya lagi.
Comments