Malaysia mahu manfaatkan pembiayaan perdagangan Islam anggota OIC
- Suara Keadilan
- May 28, 2024
- 2 min read

Malaysia akan melaksanakan kemudahan hubungan kerajaan kepada kerajaan (G2G) bagi memanfaatkan pembiayaan perdagangan Islam dalam kerjasama ekonomi antara negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata inisiatif itu akan membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi Islam ekoran saiz global kewangan perdagangan Islam agak rendah berbanding anggaran aktiviti pembiayaan oleh negara anggota OIC.
"Memandangkan saiz global kewangan perdagangan Islam hari ini hanya kurang daripada 5 peratus daripada anggaran jumlah aktiviti pembiayaan perdagangan oleh negara anggota OIC, maka saya menyeru pemimpin OIC untuk 'meningkatkan taruhan” dan memudahkan akses rentas sempadan’ bagi meningkatkan inovasi, perdagangan dan pelaburan," katanya ketika merasmikan Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dan Pengerusi Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) Tan Sri Azman Mokhtar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia akan menerajui pembangunan program global untuk pakar ekonomi Islam dengan kerjasama rakan pelaksanaannya.
Beliau berkata program tersebut bertujuan untuk melahirkan ahli ekonomi yang mempunyai kepakaran untuk mencipta penyelesaian bagi menangani cabaran global kontemporari.
"Ia adalah program pelbagai bidang yang menawarkan pendidikan eksekutif, penyelidikan gunaan dan latihan amali pekerjaan untuk peserta memperoleh pengalaman profesional," katanya.
Beliau berkata pertubuhan Islam antarabangsa dan rakan pembangunan perlu bekerjasama untuk meningkatkan kerjasama antarabangsa dengan strategi pertumbuhan ekonomi yang bersepadu.
Jelasnya langkah itu termasuk menghapuskan halangan struktur, menambah baik infrastruktur, meningkatkan amalan perdagangan dan memastikan tadbir urus yang baik dalam mengurangkan jurang ekonomi.
Bagi Malaysia, Anwar berkata rangka kerja ekonomi MADANI mengetengahkan kaedah baharu pembangunan bertamadun sebagai panduan ke arah mencapai matlamat pengagihan kekayaan secara adil dan saksama.
"Kerajaan akan terus menyokong inisiatif kewangan sosial Islam di Malaysia," katanya.
コメント