
Oleh: Hassan Abdul Karim
ULASAN PIMPINAN: Pada 19 Januari 2023 di Putrajaya, Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluncurkan visinya Malaysia Madani secara rasmi.
Penulis menyambut baik visi Malaysia Madani itu yang mengandungi nilai-nilai universal yang baik.
Malaysia Madani bukan satu propaganda tetapi adalah rangka dan isi kandungan falsafah perjuangan Anwar Ibrahim sejak sekian lama.
Marilah kita susuri visi-visi Perdana Menteri sebelum ini.
Tunku Abdul Rahman
Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama mengisytiharkan pada satu ketika bahawa beliau adalah Perdana Menteri yang paling gembira di dunia.
Malangnya, tidak lama selepas itu berlaku peristiwa rusuhan kaum berdarah 13 Mei 1969.Tunku kemudian meletakkan jawatan.
Tunku tidak menyatakan secara jelas apa-apa visit atau wawasannya. Mungkin itu semua tidak perlu.
Tujuh kali teriakan "Merdeka" pada pagi 31 Ogos 1957 itulah visi dan wawasan Tunku untuk memerdekakan Tanah Melayu dan membentuk Malaysia pada tahun 1963.
Sebahagian daripada legasi Tunku gagal apabila Singapura keluar daripada Malaysia.
Tetapi Tunku berjaya meninggalkan warisannya sebuah dokumen Perlembagaan Persekutuan yang hidup sebagai kompas.
Tunku meninggalkan institusi Parlimen dengan bangunannya yang indah bersama sistem dwi-fungsi Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.
Tun Abdul Razak
Tempoh pemerintahan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak tidak lama. Hanya enam tahun sahaja (1970 - 1976).
Tidak ada visi atau wawasan yang diumumkan secara rasmi sebagai falsafah perjuangan Tun Razak.
Tetapi Tun Razak adalah seorang yang praktikal dan pragmatik yang mengutamakan keberhasilan yang nyata.
Dalam zamannya sejak 1971, satu kejuruteraan masyarakat dilancarkan dengan dasar-dasar radikal seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mempunyai matlamat serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat.
Tun Razak seorang pelaksana kata-kata yang menjadi Timbalan Perdana Menteri selama 13 tahun dan sebagai Perdana Menteri selama 6 tahun merupakan Perdana Menteri yang paling dikenang dan dihormati rakyat hingga ke hari ini.
Bukan sahaja Tun Razak meninggalkan legasinya DEB, Rancangan Bumi Hijau, Pembukaan tanah-tanah Rancangan Felda tetapi Tun Razak juga diingati dengan dasar luar negaranya yang aktif bebas berkecuali melalui prinsip teras ZOPFAN (Zone of Peace, Freedom and Neutrality).
Tun Razak juga pembina Dasar Pendidikan Negara berteraskan Bahasa Melayu dan Dasar Kebudayaan Nasional. Di zaman Tun Razak lah dunia kesusteraan negara hidup subur.
Tun Hussein Onn
Tidak banyak yang dapat diperkatakan tentang visi atau wawasan Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ketiga.
Tetapi yang nyata sekali ialah sikap Tun Hussein Onn tegas dalam membasmi rasuah.
Datuk Harun Idris, Menteri Besar Selangor dan juga Ketua Pemuda Umno yang berpengaruh merengkok di dalam Penjara Pudu kerana kes rasuah di zaman pentadbiran Tun Hussein Onn.
Tetapi era tun Hussein Onn digerhanakan dengan dasarnya yang menekan suara-suara Pembangkang, sama ada Pembangkang di luar Umno atau di dalam Umno.
Ramai yang ditahan di bawah ISA gara-gara Menteri Dalam Negeri yang begitu berkuasa di zaman Tun Hussein Onn.
Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri keempat bermula pada tahun 1981 dengan nilai-nilai murni yang memikat iaitu Bersih, Cekap dan Amanah.
Ramai tokoh Pembangkang dan aktivis belia terpukau lalu menyertai pentadbiran Dr Mahathir Mohamed. Antaranya Kassim Ahmad, Pengerusi Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) dan pemimpin ABIM dan Majlis Belia Malaysia (MBM), Anwar Ibrahim.
Semakin lama Mahathir berkuasa ternyata Kerajaannya tidaklah sangat Bersih, tidaklah begitu cekap dan tidak pun Amanah sangat.
Konsep Melayu Baru yang tamak dan serakah mulai muncul. Golongan kapitalis kroni di kalangan kawan-kawan dan keluarga bercambah di sana sini, di bawah dasar penswastaan negara .
Dalam keadaan pancaroba sebelum dan sesudah Operasi Lalang 1988 maka muncullah satu wawasan yang bernama Wawasan 2020 yang bertujuan antara lainnya membina Malaysia sebagai sebuah negara maju dengan rakyat berpendapatan tinggi.
Mahathir yang berkuasa selama 22 tahun terpaksa turun pada tahun 2004. Kemudian Mahathir muncul lagi pada tahun 2018 sebagai Perdana Menteri ketujuh selama 22 bulan.
Mahathir dapat menyaksikan Malaysia melalui tahun 2020 ketika Wawasan 2020 ternyata gagal. Malah Mahathir jatuh dalam intrik politik dipanggil Langkah Sheraton pada minggu akhir bukan Februari 2020.
Abdullah Ahmad Badawi
Perdana Menteri Malaysia Abdullah Ahmad Badawi terkenal dengan wawasannya yang dipanggil Islam Hadari.
Tetapi pentadbiran tidak bertahan lama. Hanya sepenggal sahaja.
Apabila berlaku pilihanraya tahun 2008 dan Barisan Nasional kehilangan lima negeri kepada Pakatan Rakyat maka Perdana Menteri yang terkenal dengan jolokan "Mr nice man" terpaksa meletak jawatan pada tahun 2009.
Bagaimanapun Abdullah meninggalkan legasi mengembalikan kebebasan badan kehakiman yang punah ranah di bawah pemerintahan Mahathir.
Wawasan Islam Hadari Abdullah Badawi ditinggalkan begitu sahaja sebaik sahaja Perdana Menteri kelima itu berundur.
Mahiaddin Yassin
Tiada wawasan atau visi yang dilancarkan oleh Perdana Menteri ketujuh Mahiaddin Yassin.
Mahiaddin dikenang pentadbirannya dengan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Negara ditutup. Sekokah tutup, masjid tutup, kuil dan gereja tutup.
Kilang pun tutup. Lapangan terbang tutup, Parlimen pun tutup. Akhirnya Darurat seluruh negara diisytiharkan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Tetapi Mahiaddin pun ada jasa berupa pelbagai bantuan, subsidi dan pelbagai program membantu rakyat B40, pekerja, peniaga kecil dan sederhana di bawah program yang diberi atas nama prihatin kepada rakyat.
Akhirnya Mahiaddin terpaksa juga turun dari jawatannya kerana hilang sokongan majoriti dan legitimasi.
Ismail Sabri Yaakob
Perdana Menteri kesembilan ini dikenali dengan visinya yang dipanggil "Keluarga Malaysia".
Tempoh PM Ismail Sabri agak tenang dan stabil berkat. Naik saja ke jawatan PM, Ismail Sabri memeterai Memorandum persefahaman MoU dengan parti pembangkang utama, Pakatan Harapan.
Di bawah visi keluarga Malaysia, Ismail Sabri berjaya meluluskan 2 pindaan Perlembagaan Persekutuan yang rumit.
Pertama berkaitan Perjanjian Malaysia tahun 1963 yang melibatkan Sabah dan Sarawak untuk diiktiraf di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kedua, Ismail Sabri menggubal undang-undang akta anti-lompat parti dalam bentuk Pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan.
Anwar Ibrahim
Kita mendoakan agar nilai-nilai murni di dalam visi Malaysia Madani yang dibawa oleh PM ke-10 Anwar Ibrahim seperti prinsip keadilan, kebebasan, sifat ihsan sesama manusia akan dijayakan oleh pemimpin dan rakyat Malaysia.
_________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang