Rakyat diseru untuk sama-sama membangunkan Malaysia sebuah negara Madani yang berpaksikan kepada kekuatan, semangat dan berjiwa Islam.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membuat seruan itu berkata, pembangunan negara juga harus dicapai bukan sekadar meneroka penemuan baharu tetapi juga perlu berakarkan kepada kekuatan akidah dan akhlak Islam.
"Kita nak jadikan Malaysia ini MADANI, maknanya negara yang maju, negara yang selamatkan rakyat, tapi negara yang berpaksi kepada kekuatan dan semangat dan jiwa Islam.
" … dan sebagai tanggungjawab kita bersama, marilah hidupkan dengan menambah keikhlasan 'al-amal lillahi taala' dan dalam masa sama membawa roh ini dalam kehidupan seharian di negara kita ini," katanya dipetik ketika berucap pada Maulid Akhar Darul Ehsan Berselawat, di perkarangan Stadium Shah Alam, Selangor, malam tadi.
Hadir sama pada program penutup FTI yang dihadiri kira-kira 50,000 orang itu ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan mantan Mufti Agung Mesir, Profesor Dr Ali Jum'ah.
Festival Turath Islami Selangor kali kedua yang berlangsung dari 26 Mei itu bertujuan menghidupkan kembali turath atau pengajian kitab warisan dalam kehidupan harian umat Islam di Nusantara.
Ia melibatkan 32 ativiti dalam 11 acara antaranya program Daurah Hadis 40, Pameran Al Wahyu: Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu, syarahan, Munaqasyah Ilmiah dan program selawat.
Penganjuran program itu dianggap titik penting kepada usaha memupuk budaya keilmuan sekaligus memperkukuh akidah umat Islam di Selangor dan negara.
Sementara itu pada ucapanya, Anwar mengajak semua rakyat hidup dengan menambah keikhlasan dan amal, pada masa yang sama membawa roh Islam dalam kehidupan bernegara.
Beliau berkata, usaha itu harus terpancar daripada hati nurani yang ikhlas sama ada di rumah, sekolah, pejabat atau ketika menjalankan tugas di kementerian atau selaku pegawai kerajaan.
Comentarios