
Malaysia mungkin mencatat rekod dunia sebagai negara yang mengamalkan pendekatan lockdown atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpanjang di dunia.
Menurut Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, negara ini amat senang dengan strategi menangani Covid 19 di tahap lama, mengulangi pendekatan sama tetapi mengharapkan hasil berbeza.
Katanya, pendekatan kacau-bilau itu bukan sahaja tidak mengurangkan jangkitan Covid tetapi menyebabkan pandemik itu semakin sulit diatasi.
"Pandemik Covid 19 ini sudah merebak yang membimbangkan menjadi satu endemik.
"Menjalar menjadi keadaan membibangkan yang memerlukan langkah-langkah baru dan tidak berdegil melaksanakan pendekatan lama.
"Umpamanya pendekatan lockdown dah sebulan diteruskan tetapi jumlah yang positif bertambah.
"Malaysia mungkin satu-satunya negara dunia di mana PKP paling panjang tetapi kesannya naik, turun dan belum ada titik akhir.
"Saya mengusulkan supaya pendekatan kita lakukan berbeza. Pendekatan PKP tanpa melihat data granular tidak akan berkesan. Ia akan menyiksa rakyat dengan pembatasan tetapi kesannya tidak ada," kata Anwar dalam sidang media secara atas talian, semalam.
Manakala pemberian vaksin yang lembab, kata Ahli Parlimen Port Dickson itu, menyebabkan satu-satunya cara untuk mengawal jangkitan Covid adalah melalui ujian saringan.
Menurut Anwar lagi, Malaysia juga tidak mendapat bekalan vaksin secukupnya kerana kelemahan Kerajaan PN memperolehi kuota yang sepatutnya diberikan
"Apakah keupayaan pengeluaran vaksin dunia. Kita boleh mendapat 0.4% dari segi jumlah pengeluaran dunia. Tetapi hari ini kita hanya mendapat 0.2%. Oleh yang demikian ia tidak memenuhi maksud kita, unjuran yang kita ada sebelum ini.
"Anggaran keperluan dengan pemberian vaksin, anggaran lebih tinggi tetapi pemberian rendah. Menteri umum vaksin bertambah tetapi pemberiannya (suntikan) jauh ke belakang.
"Kalau kita lihat terkait ujian saringan, diakui ujian kurang sebab itu pesakit kurang. Selangor paling tinggi jangkitan kerana kadar ujian paling tinggi.
"Rakyat tersiksa dengan PKP, bendera putih dinaikkan, orang lapar, jumlah yang membunuh diri bertambah yang belum pernah kita catat sejarah begitu rupa," katanya lagi.
Anwar menegaskan agar kerajaan melakukan ujian harian lebih banyak supaya rakyat tahu jumlah sebenar yang dijangkiti dan kontak rapat mereka.
Sekiranya tidak, beliau memberi amaran Covid tidak lagi boleh dikenalpasti berasaskan kelompok atau kluster tetapi merebak meluas, pada tahap endemik.