top of page

Malaysia, Kyrgyz mahu kembalikan Afghanistan kepada masyarakat antarabangsa

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 2 min read

PM Anwar menerima tetamu Presiden Sadyr Zhaparov di pejabatnya, Perdana Putra. Foto: FB Anwar
PM Anwar menerima tetamu Presiden Sadyr Zhaparov di pejabatnya, Perdana Putra. Foto: FB Anwar

Malaysia dan Kyrgyz sepakat mahu masyarakat antarabangsa memberikan pengiktirafan kepada Afghanistan dengan melibatkan semula negara itu dalam komuniti global sebagai langkah meningkatkan kestabilan serantau.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media bersama Presiden Sadyr Zhaparov berkata beberapa syarat dan pemerhatian tertentu boleh digariskan bagi melaksanakan usaha tersebut.


"Saya berkongsi pandangan kita dalam hal ini kerana sebagai negara yang lebih hampir dengan Afghanistan, anda (Republik Kyrgyz) mempunyai kefahaman yang lebih mendalam.


"Kami pastinya akan mendapat manfaat daripada pandangan dan nasihat anda mengenai perkara ini," kata Anwar dalam sidang media tersebut.


Aghanistan sebelum ini melalui konflik yang panjang sejak serangan Amerika Syarikat (AS) pada 2001 selepas peristiwa 9/11, menyaksikan kuasa besar itu melakukan operasi menggulingkan rejim Taliban yang melindungi al-Qaeda serta memburu dan menumpaskan Osama bin Laden.


Bagaimanapun, Taliban kembali berkuasa di Afghanistan pada Ogos 2021 ekoran kejatuhan pantas kerajaan yang disokong AS, selepas penarikan keluar pasukan tentera Amerika Syarikat dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).


Taliban dikenali dengan pemerintahan Islam beraliran keras terutamanya dari segi pengawalan ketat terhadap golongan wanita termasuk isu diskriminasi pendidikan.


Pada Mac lepas, Ketua Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan (UNAMA) Roza Otunbayeva, dalam laporannya kepada Majlis Keselamatan PBB menyatakan Taliban perlu menunjukkan komitmen serius terhadap proses integrasi semula, termasuk menghormati tanggungjawab antarabangsa seperti hak wanita dan usaha memerangi keganasan.


Di Malaysia, lawatan pemimpin Afghanistan ke Kementerian Pendidikan sebelum ini menerima kritikan segelintir penyokong kerajaan yang mempersoalkan tentang pendirian kerajaan terhadap Taliban.


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam jawapan di Parlimen pada Februari lalu mengesahkan bahawa tiada perjanjian atau kerjasama rasmi antara Malaysia dengan Kerajaan Taliban di Afghanistan,


Jelas beliau lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan ke Malaysia pada tahun lalu bertujuan memberi pendedahan berkenaan sistem pendidikan di negara ini.


Lawatan itu dibiayai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang bertanggungjawab menguruskan dana yang disediakan oleh Kesatuan Eropah dalam usaha menyokong pembangunan kapasiti di Afghanistan, katanya.


Selain isu Afghanistan, Anwar dan Zhaparov turut menyuarakan kebimbangan terhadap konflik di Gaza, serta mengulangi kecaman tegas mereka terhadap tindakan keganasan Israel.


"Kami mahu Israel menghentikan tindakan pencerobohan, penjajahan dan pembunuhan beramai-ramai, serta memberikan keselamatan dan keadilan kepada rakyat Gaza yang telah lama menderita," ujarnya.


Kedua-dua pemimpin tersebut turut menyatakan sokongan terhadap Iran untuk menyerang balas terhadap pencerobohan Israel bagi mengekalkan keselamatan di rantau Asia Barat tanpa ancaman berterusan daripada rejim Zionis itu.


"Saya ada berhubung dengan Emir Qatar atas peranan penting mereka dalam menjayakan gencatan senjata antara Iran dan Israel, selain menerima mesej peribadi daripada Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman," katanya.

Comentarios


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page