
Malaysia mengecam keras tindakan ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan membakar kitab suci al Quran di Stockholm semalam.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata aksi Islamofobia tersebut tidak membawa apa apa kebaikan kepada politik di negara berkenaan malah hanya akan menimbulkan pertentangan agama di Eropah.
Katanya, bukan sahaja umat Islam seperti di Turkiye yang membantah aksi berkenaan malah muslim di seluruh dunia.
"Malaysia menggesa Kerajaan Sweden mengambil langkah segera terhadap pelaku perbuatan keji ini serta memastikan langkah drastik pada masa depan untuk menangani kebangkitan Islamofobia yang membimbangkan di Sweden.
"Pencemaran Kitab Suci Islam secara terang-terangan oleh ahli politik Sweden itu dan ketiadaan tindakan adalah sama dengan mencetuskan Islamofobia, dan merupakan provokasi besar terhadap sensitiviti bukan sahaja di Turkiye tetapi lebih daripada dua bilion umat Islam di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan petang ini.
PM menegaskan bahawa prinsip saling menghormati antara agama amat penting ditegakkan.
Katanya, sebarang pertikaian atau salah faham agama seharusnya diselesaikan dengan cara dialog bukan provokasi yang berselindung di belakang hak kebebasan bersuara.
"Malaysia mengecam jenayah kebencian berulang kali menyasarkan umat Islam serta segala bentuk hasutan untuk membenci dan menyemarakkan perkauman dalam perkataan atau perbuatan, dan memerhati dengan penuh kebimbangan terhadap gelombang ucapan kebencian yang meningkat kerana kepercayaan atau etnik.
"Malaysia mengulangi pentingnya menegakkan prinsip dialog dan saling menghormati dalam penyelesaian pertikaian serta menyeru masyarakat antarabangsa menolak umpan kaum atau agama dengan berselindung di sebalik kebebasan bersuara," katanya lagi.