Malaysia kukuh komitmen tangani isu doping dalam sukan - Dr Taufiq
- Azuan Ab Rahman
- 4 minutes ago
- 1 min read

Malaysia terus memperkukuh komitmen dalam menangani isu doping dalam sukan menerusi penyertaan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Asia/Oceania ke-21 Mengenai Anti Doping Dalam Sukan di Beijing, China.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari (gambar) berkata, mesyuarat yang diadakan pada Isnin itu menjadi platform penting untuk mengukuhkan kerjasama serantau dalam menangani isu doping sekaligus sebagai persediaan kepada pelaksanaan Kod Anti-Doping Dunia 2027 yang akan berkuat kuasa mulai 1 Jan tahun depan.
Beliau berkata perkongsian pada mesyuarat berkenaan juga penting
"Saya menyertai Mesyuarat Menteri-Menteri Asia/Oceania ke-21 Mengenai Anti Doping Dalam Sukan. Mesyuarat ini penting bagi memastikan dasar yang dilaksanakan di Malaysia sentiasa selaras dengan piawaian antarabangsa terkini demi memelihara integriti sukan negara," katanya menerusi hantaran di media sosial.
Dr Mohammed Taufiq berkata sepanjang mesyuarat itu, beliau bersama Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) Dr Azril Shazwan Mohd Ali turut bertukar pandangan dan berkongsi amalan terbaik dengan pemimpin serta wakil negara-negara serantau.
"Penyertaan dalam mesyuarat kali ini pastinya memberikan pengalaman dan pendedahan yang amat berharga serta memperkukuhkan lagi usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi ADAMAS.
"Ini bagi memastikan sukan di Malaysia kekal bersih, berintegriti dan bebas daripada doping, khususnya menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor pada Ogos ini, selain sebagai persediaan ke arah penganjuran Sukan SEA 2027," ujarnya.
