top of page

Malaysia kukuh kerjasama ekonomi: 23 syarikat China teroka peluang pelaburan

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
4 hours ago
2 min read
DS Anwar berdialog bersama kapten industri China anjuran Malaysia-China Business Council (MCBC)
DS Anwar berdialog bersama kapten industri China anjuran Malaysia-China Business Council (MCBC)

Antara sektor yang menjadi tumpuan ialah tenaga baharu dan bahan bateri, peranti pintar, teknologi digital, teknologi perubatan, pembuatan termaju, automasi, perkhidmatan kewangan serta logistik

Malaysia terus memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan China menerusi Dialog Peringkat Tinggi Perdagangan dan Pelaburan Malaysia-China yang menghimpunkan pemimpin industri daripada 23 syarikat terkemuka negara itu.


Dialog berkenaan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dianjurkan oleh Malaysia-China Business Council (MCBC) dengan kerjasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).


Anwar berkata, sesi berkenaan menyediakan platform strategik untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, selain meneroka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik antara Malaysia dengan China.


Menurut beliau, perbincangan bersama syarikat-syarikat berkenaan turut membuka ruang kepada pengembangan pelaburan serta meningkatkan penyertaan Malaysia dalam rantaian bekalan global.


Antara sektor yang menjadi tumpuan ialah tenaga baharu dan bahan bateri, peranti pintar, teknologi digital, teknologi perubatan, pembuatan termaju, automasi, perkhidmatan kewangan serta logistik.


Sesi itu turut melibatkan syarikat seperti EVE Energy, Shenzhen Senior Technology, Capchem, Tinci dan XTC New Energy dalam sektor tenaga baharu serta bahan bateri.


Sementara itu, Xiaomi, Honor dan Tencent mewakili sektor peranti pintar serta teknologi digital, manakala Mindray terlibat dalam bidang teknologi perubatan.


Beberapa syarikat China termasuk Plastech China, Eternal Asia, Guangdong Import & Export Co. (GDIE) dan Kingfa Sci. & Tech. turut meneroka peluang mendapatkan bekalan produk serta bahan dari Malaysia bagi memenuhi keperluan operasi dan pasaran global.


Antara produk dan bahan yang berpotensi dibekalkan termasuk bahan pembuatan bernilai tinggi, bahan kimia khusus, polimer, perkhidmatan digital serta produk berasaskan sawit.


Anwar berkata, usaha berkenaan berpotensi membuka lebih banyak peluang eksport, memperluas pasaran serta meningkatkan penyertaan syarikat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam rantaian bekalan antarabangsa.


Perkembangan itu juga dilihat mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih inklusif dan berdaya saing.


Beliau menegaskan Kerajaan MADANI komited menarik pelaburan berkualiti yang membawa masuk teknologi termaju, memperkukuh daya saing industri serta memperkasa pembangunan bakat tempatan.


Usaha berkenaan turut memberi tumpuan kepada pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, selain meningkatkan sumber dan perolehan tempatan bagi mengukuhkan rantaian bekalan negara.


Kerjasama strategik dengan syarikat China diharap dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada ekonomi Malaysia, khususnya melalui pemindahan teknologi, pengembangan pasaran eksport dan peningkatan keupayaan industri tempatan.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page