Malaysia sedang bergerak menjadi kuasa baharu dalam industri semikonduktor dunia.
Berada pada kedudukan keenam terbesar global dari segi pengeksport elektronik/semikonduktor, negara ini boleh meningkatkan lagi kedudukannya pada masa hadapan.
Oleh itu Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How berkata, amat penting bagi kepemimpinan Kerajaan MADANI di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan Malaysia destinasi pilihan utama pelabur global bagi meningkatkan lagi kemasukan modal dan teknologi dari negara industri utama.
"Industri semikonduktor bukan sahaja mengenai cip dan litar, ia mengenai penjelmaan kepintaran manusia dan usaha mengejar kemajuan tanpa henti.
"Dengan menerima industri ini, kita bukan sekadar terlibat dalam perdagangan, kita membuat kenyataan tentang kedudukan Malaysia di dunia—negara yang mengimbangi tradisi dengan inovasi, berkecuali dengan cita-cita, dan kepelbagaian dengan perpaduan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Dalam pada itu, penganalisis ekonomi berpendapat Malaysia sebagai pemain industri semikonduktor utama perlu meningkatkan lagi rantaian nilai dalam reka bentuk litar bersepadu (IC), menarik pelaburan langsung asing (FDI) dalam fabrikasi wafer dan pembungkusan maju untuk terus kekal berdaya saing dalam pasaran semikonduktor global.
Menurut penganalisis, tinjauan jangka panjang industri semikonduktor global kekal kukuh dan ia dijangka mencecah nilai AS$1 trilion menjelang 2030.
Bagaimanapun prospek jangka panjang pasaran semikonduktor itu, kata mereka, bakal dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran berawan (clouds) dan sebagainya yang mesti dikuasai oleh negara yang ingin mengungguli pengeluaran dan pasaran.
Comentários