top of page

Malaysia konsisten perjuang keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read
DS Anwar diberi penghormatan berucap di di Parlimen Timor-Leste
DS Anwar diberi penghormatan berucap di di Parlimen Timor-Leste

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia secara konsisten memperjuangkan keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN dan tiada sebab untuk menangguhkan proses tersebut.


Perdana Menteri berkata perjalanan demokrasi Timor-Leste menjadi inspirasi bagi rantau ini selain menonjolkan kesungguhan negara itu dalam menghadapi cabaran dan diskriminasi sehingga berjaya berdiri sebagai sebuah negara merdeka.


"Dengan apa juara cara, saya mesti meyakinkan semua kerajaan dan pemimpin ASEAN serta menggunakan segala sumber dan keupayaan yang saya miliki untuk memastikan Timor-Leste menjadi anggota penuh ASEAN. Inilah komitmen teguh Malaysia," kata ketika berucap di Parlimen Timor-Leste dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke negara itu hari ini, lapor Bernama.

Perdana Menteri yang menyifatkan Parlimen Timor-Leste sebagai nadi demokrasi berkata Malaysia memberikan sokongan padu terhadap penyertaan penuh negara itu dalam ASEAN.


Beliau yang merupakan Pengerusi ASEAN 2025 turut merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas sokongan berterusan Malaysia terhadap usaha Timor-Leste ke arah keanggotaan ASEAN.


"Ramai antara anda menyebut tentang prakemerdekaan dan pascakemerdekaan ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Beliau menunjukkan konsistensi dalam ucapannya. Saya percaya kini menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan proses penyertaan ini berjalan lancar," kata beliau.


Anwar turut memberi jaminan firma Malaysia yang membuat pelaburan di Timor-Leste melaksanakannya dengan tanggungjawab dengan penekanan pada perkongsian dan manfaat bersama selain tidak melakukan eksploitasi seperti sering dikaitkan dengan syarikat multinasional.


"Ya, melabur dan meraih keuntungan tetapi sentiasa diingatkan supaya tidak mengulangi amalan berlebihan yang mengeksploitasi, sebaliknya harus memperkasakan," kata beliau.


Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memuji peranan Presiden Dr Jose Ramos-Horta serta kepimpinan negara itu yang sentiasa mempertahankan kebebasan dan keadilan, termasuk ketika beliau sendiri berdepan cabaran politik.


"Siapa yang bersuara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)? Bukan kuasa-kuasa besar tetapi suara pemimpin kecil seperti Ramos-Horta. Saya menyanjung anda atas keberanian itu," kata beliau.


Tegas Anwar lagi, hubungan Malaysia dan Timor-Leste tidak hanya terbatas pada hubungan diplomatik malah terjalin atas dasar persahabatan yang tulus.


"Kita bukan hadir sebagai wakil sebuah kerajaan tetapi sebagai rakan seperjuangan, untuk berkongsi rasa, aspirasi dan bersama-sama membina kemajuan," katanya.


Terdahulu Anwar disambut Presiden Parlimen Nasional Timor-Leste, Maria Fernanda Lay pada pukul 8.55 pagi untuk pertemuan ringkas di Pejabat Presiden di Dili sebelum menyampaikan ucapan beliau.


Ucapan itu dianggap satu penghormatan istimewa yang mencerminkan keyakinan kian meningkat dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste.


Selepas itu Perdana Menteri meneruskan jadual di Istana Kerajaan bagi mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya, Kay Rala Xanana Gusmão.


Sesi tersebut turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dan pelancaran projek pembangunan Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) di Pelabuhan Dili, yang dijangka meningkatkan keupayaan Timor-Leste menganjurkan acara antarabangsa berskala besar.


Anwar selepas itu berangkat ke Istana Presiden bagi menyampaikan Syarahan Presiden dan menghadiri Majlis Penganugerahan pada pukul 2 petang yang menyaksikan Anwar dikurniakan Grand Collar of the Order of Timor-Leste, anugerah sivil tertinggi negara tersebut.


Perdana Menteri dijadual berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 3.30 petang waktu tempatan sekali gus mengakhiri lawatan rasmi dua hari yang juga lawatan pertama pemimpin Malaysia ke Timor-Leste dalam tempoh 22 tahun.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page