Dana IMAN9 dilancar, usaha Negeri Sembilan makmurkan institusi masjid
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Sembilan melancarkan Dana Infak Masjid Negeri Sembilan (Dana IMAN9) sebagai langkah strategik memperkasa pembangunan ummah.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, penubuhan dana itu bertujuan melengkapkan usaha meningkatkan kutipan infak secara lebih sistematik dan mampan bagi menyokong pembangunan fizikal masjid dan memakmurkan institusi masjid sebagai pusat ibadah, dakwah serta penyatuan masyarakat Islam.
"Pelancaran Dana IMAN9 menjadi simbol komitmen bersama dalam menyemai budaya memberi secara berterusan bagi menyokong pembangunan masjid serta kesejahteraan umat Islam di negeri ini.
"Dana ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada penglibatan masyarakat dalam amalan berinfak serta memperkukuh peranan masjid sebagai institusi yang menyatukan ummah," katanya dipetik.
Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri melancarkan Dana Infak Masjid Negeri Sembilan di tapak NS Fest di Dataran Nilai pada Khamis.
Turut hadir pada acara itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim; Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.
Menerusi ucapan di majlis itu, Aminuddin turut menyatakan harapan agar pelaksanaan Dana IMAN9 dapat menyuburkan amalan berinfak dalam kalangan masyarakat serta menjadi pemangkin kepada pembangunan masjid yang lebih progresif, selari usaha memperkukuh syiar Islam di Negeri Sembilan.





