Malaysia komited pastikan keselamatan, kestabilan maritim serantau
- Suara Keadilan
- 31 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Malaysia kekal komited memastikan keselamatan dan kestabilan rantau ini meliputi perairan Lautan Hindi, Selat Melaka hingga ke Laut China Selatan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri memberikan jaminan untuk memastikan rantau ini kekal sebagai laluan perdagangan strategik yang mesti terus dipelihara daripada sebarang ancaman.
"Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama pertahanan serantau dan antarabangsa, serta kekal komited mendukung keamanan global," katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di Facebook selepas menghadiri majlis pembukaan dan makan malam sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) di Langkawi International Convention Centre, (LICC), Kuah malam tadi.
Anwar berkata peranan Malaysia dalam memperkukuh pertahanan serantau turut melibatkan penyertaan aktif dalam misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memperluas latihan ketenteraan bersama dan menyokong agenda global berkaitan wanita, kesejahteraan dan keselamatan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata penyertaan aktif negara-negara jiran dan rakan strategik seperti China, India, Korea Selatan, negara-negara ASEAN, Amerika Syarikat serta Eropah pada LIMA’25 menjadi bukti sokongan dan keyakinan global terhadap peranan Malaysia dalam menjamin keselamatan serantau dan memupuk kerjasama pertahanan yang bermakna.
Beliau menyatakan LIMA’25 mencerminkan kekuatan pertahanan negara dan iltizam untuk terus memainkan peranan konstruktif dalam menjamin keamanan dan kemakmuran serantau serta dunia sejagat.
Justeru itu jelasnya tema “Innovate Today, Thrive Tomorrow” pada pameran maritim itu amat bertepatan dengan keperluan semasa.
"Ia menzahirkan kepentingan inovasi teknologi – termasuk dalam bidang pertahanan pintar, kecerdasan buatan (AI), dan industri aeroangkasa – yang menjadi pemacu utama ke arah masa depan yang lebih selamat dan berdaya tahan," ujarnya.