top of page

Malaysia komited memperkasa agenda kesihatan global

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
21 hours ago
1 min read
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Gambar arkib
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Gambar arkib

Malaysia menegaskan komitmen untuk memperkukuh kemampanan bekalan perubatan, memperluas langkah pencegahan penyakit dan meningkatkan keterangkuman dalam agenda kesihatan global.


Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu diketengahkan menerusi Kenyataan Negara yang disampaikannya pada Mesyuarat Jawatankuasa Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Pasifik Barat (WPRO) ke-77 di Manila.


Menerusi perkongsian di laman Facebook beliau berkata, Malaysia memimpin inisiatif Jaminan Ubat-ubatan dan Kesediaan Berdikari ASEAN (ADSSR) bagi mengurangkan kebergantungan rantau ini terhadap rantaian bekalan luar yang terdedah kepada gangguan.


"Inisiatif ini bertujuan memperkukuh daya tahan bekalan perubatan serantau bagi memastikan akses kepada ubat-ubatan tidak terjejas ketika berdepan cabaran bekalan," katanya dipetik laporan media.


Sementara itu Dr Dzulkefly turut berkata, Malaysia juga menekankan peralihan daripada pendekatan berasaskan rawatan kepada pencegahan penyakit, termasuk memperluas saringan penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam komuniti.


Usaha itu turut merangkumi pemerkasaan cukai gula serta penyepaduan Inisiatif Kesihatan Paru-paru di fasiliti penjagaan primer.


Dalam aspek kesihatan global, Malaysia jelasnya memperjuangkan kepentingan negara membangun dan Negara-Negara Pulau Kecil Membangun (SIDS) bersama-sama Jepun dan China dalam agenda reformasi kesihatan global.


Beliau turut menggesa WHO mempercepat peralihan daripada peranan sebagai penasihat kepada pelaksanaan tindakan konkrit yang memberikan impak nyata kepada masyarakat.


"Selain itu solidariti serantau perlu diterjemahkan kepada langkah pencegahan proaktif dan tindakan berkesan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada mendapat manfaat perkhidmatan kesihatan.


"Malaysia bersedia berkongsi kepakaran dan memperkukuh kerjasama serantau bagi membina sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan, mampan dan saksama," jelasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page