top of page

Malaysia, Indonesia perluas kerjasama keselamatan dalam talian kanak kanak

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
5 hours ago
2 min read
DS Fahmi berdialog bersama rakan sejawatnya dari Indonesia, Meutya Hafid
DS Fahmi berdialog bersama rakan sejawatnya dari Indonesia, Meutya Hafid

Malaysia dan Indonesia bersetuju mewujudkan kerjasama antara agensi di peringkat pelaksanaan bagi menangani isu keselamatan dalam talian kanak-kanak, dengan usaha turut dirancang untuk mengadakan pertemuan antara Malaysia dan Singapura pada Disember ini.


Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata keselamatan dalam talian, khususnya melibatkan kanak-kanak, merupakan isu penting yang memerlukan perhatian bersama negara-negara di rantau ini.


Beliau berkata walaupun negara-negara ASEAN mempunyai undang-undang dan pendekatan pelaksanaan yang berbeza, usaha yang dimulakan Malaysia, Indonesia dan Singapura berpotensi menggalakkan penyertaan negara-negara lain di rantau ini.


"Kita bukan sekadar mempunyai dasar yang seiring, tetapi juga mungkin beberapa mekanisme yang hampir serupa, walaupun tidak semestinya sama sepenuhnya," beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Meutya Hafid, di sini pada Selasa.


Fahmi turut menyambut baik hasrat Meutya untuk mempererat kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kementerian Komunikasi dan Digital Indonesia.


Pengalaman MCMC dalam mengendalikan aduan orang ramai berkaitan media sosial juga boleh dimanfaatkan oleh rakan sejawatnya di Indonesia, tambahnya.


Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan Singapura Josephine Teo berkata beliau secara kebetulan bertemu Fahmi di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai pada Isnin.


Dalam hantaran di media sosial rasminya, Teo berkata Fahmi baru tiba di Bali, manakala beliau pula menunggu penerbangan pulang ke Singapura selepas menghadiri Bali Tech Week.


Beliau berkata pertemuan spontan itu tetap memberi manfaat apabila kedua-dua mereka bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan sektor telekomunikasi negara masing-masing, termasuk komunikasi selamat kuantum (quantum-safe communications), serta keselamatan dalam talian bagi kanak-kanak dan golongan muda.


Teo turut menyatakan harapan untuk menjadi tuan rumah kepada Fahmi di Singapura dalam masa terdekat.


Fahmi berada di Bali atas jemputan untuk menyampaikan ucaptama pada Bali Tech Week.


Beliau diiringi Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia) MCMC Datuk Dr Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibudden serta Setiausaha Pertama (Ekonomi) Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Fakhrul Arifin Mohammad Zulkifly.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page