Tindakan RoS atas PN: Mukhriz diminta tarik balik dakwaan babitkan KEADILAN - Dr Fuziah


Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh menuntut Datuk Seri Mukhriz Mahathir menarik balik dakwaan berhubung slaid yang dikaitkan dengan kongres parti itu serta memohon maaf secara terbuka kerana didakwa menyebarkan maklumat tidak sahih.
Fuziah berkata, slaid yang dikongsikan Mukhriz menerusi akaun Instagram dan Threads miliknya tidak pernah dibentangkan dalam mana-mana Kongres atau Konvensyen KEADILAN, mahupun disediakan oleh mana-mana pihak dalam parti berkenaan.
Beliau menjelaskan program yang berlangsung pada 15 dan 16 Ogos 2026 di Melaka ialah Kongres Nasional KEADILAN 2026, bukannya konvensyen seperti yang didakwa Mukhriz.
"Saya selaku Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengesahkan bahawa slaid yang dikongsikan oleh Mukhriz Mahathir menerusi akaun Instagram dan Threads miliknya itu sama sekali tidak pernah dibentangkan dalam Kongres mahupun Konvensyen KEADILAN seperti yang didakwa, atau disediakan oleh mana-mana pihak dalam Parti Keadilan Rakyat," katanya menerusi kenyataan.
Menurut Fuziah, kongres berkenaan mendapat liputan meluas pelbagai organisasi media, termasuk BERNAMA, Utusan Malaysia dan MalaysiaGazette.
Katanya, sekiranya slaid itu benar-benar dibentangkan seperti yang didakwa, sepatutnya terdapat rekod, rakaman atau laporan media yang boleh dijadikan bukti.
Beliau berkata, berdasarkan semakan KEADILAN, slaid berkenaan pertama kali dimuat naik menerusi akaun Facebook menggunakan nama Arman Ashaari pada 24 September lalu.
Fuziah turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Mukhriz yang didakwa menyebarkan bahan itu tanpa terlebih dahulu mengesahkan kesahihannya.

"Saya amat kesal dengan tindakan Mukhriz Mahathir yang menyebarkan slaid tersebut tanpa terlebih dahulu memastikan kesahihannya.
"Saya menganggap tindakan menggunakan slaid yang tidak pernah dibentangkan itu untuk mengaitkan Parti Keadilan Rakyat dengan keputusan ROS terhadap Perikatan Nasional hari ini sebagai satu fitnah terhadap KEADILAN," katanya.
Beliau berkata, Mukhriz sebagai pemimpin politik berpengalaman sepatutnya memastikan sesuatu bahan disahkan terlebih dahulu sebelum disebarkan kepada umum.
"Jika beliau mempunyai bukti yang sahih, kemukakan rekod pembentangan asal," katanya.
Dalam pada itu, Fuziah menegaskan aduan yang membawa kepada tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) terhadap Perikatan Nasional (PN) melibatkan parti komponen dalam gabungan itu sendiri dan bukannya KEADILAN.
"Justeru, saya menuntut supaya Mukhriz Mahathir menarik balik dakwaan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada Parti Keadilan Rakyat atas penyebaran bahan fitnah yang cuba mengaitkan KEADILAN dengan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) terhadap Perikatan Nasional hari ini," katanya.
Beliau menegaskan perbezaan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyebarkan perkara yang tidak sahih.
Terdahulu, Mukhriz dalam muat naik media sosialnya mendakwa tindakan RoS membatalkan pendaftaran PN merupakan salah guna kuasa oleh Perdana Menteri dan kononnya telah pun terdedah melalui pertunjukan slaid di Kongres Nasional KEADILAN di Melaka beberapa bulan lalu.




Comments