Kerjasama Kerajaan S'gor-Bersatu diteliti susulan pendaftaran PN dibatal


Kerajaan Negeri Selangor akan meneliti kedudukan cadangan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN).
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata keputusan mengenai perkara itu dijangka dibuat dalam tempoh satu hingga dua hari selepas semakan lanjut dengan menegaskan rundingan yang sedang berlangsung adalah antara kerajaan negeri dengan Bersatu, bukannya PN.
"Kita tidak pasti (kedudukan PN), saya kena semak dahulu. Mungkin satu atau dua hari ini kita akan tentukan kedudukannya (kerjasama) dengan Bersatu.
"Soal pembatalan pendaftaran PN, itu masalah dalaman yang harus mereka sendiri selesaikan. Sebab, perancangan kita adalah dengan Bersatu, bukan PN," katanya dipetik daripada rakaman video Astro Awani selepas Majlis Penyampaian Sijil Profesional Teknologi Pengurusan Bekalan Air di Shah Alam hari ini.
Amiruddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor berkata perjanjian kerjasama antara kerajaan negeri dan Bersatu dijangka dimeterai minggu depan tertakluk kepada pengesahan lanjut.
"Nanti saya kena tunggu pengesahan dahulu, mungkin selepas 25, 26 hari bulan (Oktober)," katanya.
Terdahulu RoS mengumumkan pembatalan pendaftaran PN di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 selepas menerima maklum balas gabungan itu pada 12 Oktober susulan notis yang dikeluarkan pada 22 September.
Sebelum ini laporan media tempatan menyebut kerajaan Selangor sedang merundingkan Perjanjian Kepercayaan dan Pembekalan (CSA) dengan Bersatu bagi mengukuhkan kedudukan pentadbiran negeri dengan sasaran memuktamadkannya sebelum pembentangan Belanjawan Selangor pada November.
Kerjasama itu dijangka memberi ruang kepada wakil rakyat Bersatu mendapatkan peruntukan kawasan setara dengan wakil rakyat lain selain membolehkan mereka memainkan peranan lebih besar dalam proses membuat keputusan kerajaan negeri.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Afif Bahardin dipetik sebagai berkata, partinya mahu wakil rakyat mereka turut dilibatkan dalam proses membuat keputusan, termasuk melalui akses kepada mesyuarat Kerajaan Negeri.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mempunyai 56 kerusi dengan PH menguasai 32 kerusi, Bersatu (11), Pas (10), Barisan Nasional (BN) dua dan seorang wakil rakyat Bebas.
Kerajaan Negeri ketika ini mendapat sokongan 35 ADUN terdiri daripada 32 wakil PH, dua daripada BN dan seorang wakil rakyat Bebas.
Jika dimeterai, kerjasama dengan Bersatu berpotensi meningkatkan sokongan kepada pentadbiran Amirudin kepada 46 ADUN sekali gus melepasi ambang majoriti dua pertiga DUN.
Rundingan itu berlangsung ketika hubungan PH dan BN di Selangor dilaporkan semakin tegang manakala Bersatu turut berdepan perselisihan dengan Pas dalam PN yang kini menyaksikan parti Islam itu muncul sebagai rakan dominan.




Comments