Malaysia kembali ke persada dunia di bawah kepimpinan PMX
- Suara Keadilan
- 4 minutes ago
- 1 min read

Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan dunia apabila pemimpin-pemimpin utama antarabangsa berkumpul di ibu negara bagi membincangkan isu keamanan, pembangunan serantau serta kerjasama global.
Menurut Senator Abun Sui Anyit, suasana di Kuala Lumpur hari ini membuktikan bahawa Malaysia kembali memainkan peranan besar di peringkat antarabangsa di bawah kepimpinan berkarismatik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).
"Pemimpin-pemimpin utama dunia sedang berkumpul di Kuala Lumpur bagi menghadiri pertemuan penting yang menumpukan kepada keamanan dan kerjasama serantau," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa kepimpinan Anwar mendapat pujian tinggi daripada Presiden Amerika Syarikat, yang mengiktiraf usaha Malaysia dalam mengusahakan perdamaian antara Kemboja dan Thailand.
"Kehadiran bekas Presiden Donald Trump ke Malaysia turut diakui olehnya sendiri sebagai tanda pengiktirafan terhadap kehebatan dan kebijaksanaan kepimpinan Malaysia masa kini," kata Abun.
Ketua Penerangan KEADILAN Sarawak itu menambah, kejayaan diplomatik ini adalah bukti bahawa Malaysia kembali dihormati di pentas dunia setelah sedekad kehilangan pengaruhnya.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita bersyukur dan berbangga atas pencapaian ini yang sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia terus dihormati di peringkat antarabangsa," katanya.
Kenyataan itu turut menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama memperkukuh semangat nasional dan mendokong kepimpinan Perdana Menteri dalam meneruskan agenda menjadikan Malaysia hebat semula di mata dunia.
Untuk rekod, sebelum ini Malaysia menjadi bahan sendaan dunia lewat skandal 1Malaysia Development Bhd, kemudian negara melalui detik suram ketidaktentuan politik apabila dipimpin oleh PM yang tidak berkarismatik seperti Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.





