Malaysia kecam tindakan Zionis ganggu bantuan kemanusiaan ke Gaza
- Suara Keadilan

- 5 days ago
- 1 min read

Malaysia mengecam keras tindakan rejim Zionis Israel melarang dan menggantung operasi organisasi bantuan kemanusiaan antarabangsa di Gaza.
Wisma Putra menegaskan, tindakan itu jelas satu pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang mencabul prinsip kebebasan dan kenetralan operasi kemanusiaan.
Tindakan terbaharu rejim itu juga akan memburukkan krisis kemanusiaan kritikal di Gaza susulan serangan berterusan ke atas rakyat Palestin sejak lebih dua tahun lalu.
"Halangan terhadap bantuan kemanusiaan ini adalah satu bentuk hukuman kolektif terhadap orang awam.
"Israel mesti dipertanggungjawabkan atas sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan," kata Wisma Putra.
Sehubungan itu Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas mendesak Israel menarik balik keputusan berkenaan dan menjamin penyampaian bantuan tanpa sekatan
Malaysia turut menegaskan solidariti tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan komitmen berterusan memperjuangkan penamatan kekejaman Israel, penghapusan sekatan ke atas Gaza serta penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.









Comments