top of page

Malaysia kecam tindakan rejim Israel roboh ibu pejabat UNRWA

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jan 22
  • 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman


Malaysia mengeluarkan kenyataan tegas mengecam pencerobohan Israel ke atas ibu pejabat Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), serta perobohan premis UNRWA di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur, Palestin.


Menerusi satu kenyataan, Wisma Putra menegaskan bahawa Israel mempunyai obligasi di bawah undang-undang antarabangsa untuk memastikan saluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya melalui UNRWA atau mana-mana organisasi antarabangsa serta negara anggota PBB dapat disampaikan tanpa sekatan.


Israel juga perlu melindungi semua petugas kemanusiaan dan perubatan dan memastikan hak keistimewaan serta kekebalan PBB—termasuk premis, harta benda dan kakitangannya—dipelihara selaras dengan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bertarikh 22 Oktober 2025.


"Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa agar memastikan akauntabiliti dikenakan terhadap Israel atas pencabulan undang-undang antarabangsa yang berterusan, termasuk Piagam PBB, Konvensyen PBB Mengenai Keistimewaan dan Kekebalan 1946, serta resolusi-resolusi PBB yang berkaitan.


"Impuniti ini mesti dihentikan," kata kementerian itu.


Media antarabangsa pada Selasa melaporkan tindakan seorang pemimpin Israel daripada kumpulan pelampau kanan, Itamar Ben-Gvir, mengetuai tindakan tentera Israel merobohkan struktur di dalam kawasan ibu pejabat UNRWA di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.


Dengan kehadiran sekurang-kurangnya sebuah jentolak, rejim bertindak menceroboh perkarangan premis berkenaan dan merobohkan struktur mudah alih serta struktur kekal di lokasi tersebut sebelum menaikkan bendera Israel di kawasan tersebut bagi menggantikan bendera PBB.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page