Malaysia kecam serangan terbaru ke atas konvoi Flotila Sumud Global
- Suara Keadilan

- Sep 25
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan terbaharu yang mengancam keselamatan konvoi Flotila Sumud Global (GSF).
Kementerian Luar (Wisma Putra) menegaskan, GSF merupakan pelayaran yang sah di sisi undang-undang antarabangsa yang perlu diberi laluan selamat tanpa sebarang halangan.
"Malaysia menggesa ancaman keganasan itu dihentikan serta-merta, dan laluan selamat tanpa halangan bagi para peserta flotila serta kapal mereka dijamin," kata kenyataan itu.
GSF merupakan misi pelayaran bersejarah disertai lebih 1,000 sukarelawan antarabangsa termasuk 34 rakyat Malaysia dengan hampir 70 kapal.
Sedang merentasi Laut Mediterranea, konvoi membawa bekalan ubat-ubatan dan makanan termasuk susu itu cuba memecahkan sekatan haram Israel ke atas Gaza.
Pada awal pagi Selasa, konvoi itu sekali lagi berdepan serangan mencemaskan apabila menjadi sasaran intimidasi dron rejim Israel.
Bekas wartawan senior yang juga aktivis kemanusiaan, Zainal Rashid Ahmad yang menyertai konvoi itu memaklumkan, 15 dron Israel mengitari kawasan konvoi sebelum melepaskan bahan letupan jenis stun grenade di ruang udara bagi menakut-nakutkan mereka.
Serangan itu jelasnya tidak menyebabkan kemalangan jiwa, namun dua bot mengalami kerosakan minimum akibat ledakan.
Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataannya menegaskan pendirian konsisten untuk terus berdiri teguh bersama Palestin, serta menggesa penamatan segera genosid dan sekatan haram ke atas Gaza.









Comments