top of page

Malaysia kecam serangan terbaharu Israel di Al Zahra, Gaza

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman


Malaysia sekali lagi mengeluarkan kecaman keras terhadap rejim Israel susulan serangan baharu di Gaza yang mengakibatkan kematian orang awam yang tidak berdosa, termasuk kanak-kanak dan wartawan.


Kementerian Luar (Wisma Putra) menerusi satu kenyataan pada Khamis berkata, serangan di Al-Zahra, barat daya Bandar Gaza itu merupakan satu pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.


Serangan membunuh 11 orang termasuk tiga wartawan itu secara jelas melanggar perjanjian gencatan senjata yang diisytiharkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sebagai sebahagian daripada Pelan Damai 20-perkara pada 29 September 2025.


"Malaysia menegaskan bahawa semua pihak yang terlibat dalam konflik ini bertanggungjawab mematuhi undang-undang antarabangsa.


"Serangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa orang awam serta menjejaskan keselamatan dan akses kepada perkhidmatan asas tidak boleh diterima sama sekali dan membantutkan usaha ke arah meredakan ketegangan, demi mencapai keamanan dan kestabilan," menurut kenyataan itu.


Justeru Wisma Putra berkata Malaysia menegaskan seruannya agar penindasan, kekejaman dan pembunuhan keatas rakyat Palestin dihentikan serta-merta.


Malaysia turut menggesa agar semua pihak terlibat kembali komited kearah mencapai penyelesaian yang adil dan keamanan yang berkekalan di Palestin.


"Malaysia menzahirkan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi terhadap hak asasi mutlak rakyat Palestin, termasuk hak untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara," tambah kenyataan itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page