Malaysia kecam serangan sasar pasukan pengaman PBB di Lubnan
- Azuan Ab Rahman

- Jun 6
- 1 min read

Malaysia mengecam serangan berterusan rejim Israel yang menyasarkan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan Malaysia menyatakan solidariti dan ucapan takziah kepada Serbia susulan kematian seorang anggota Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) akibat kecederaan dialami dalam insiden berhampiran Marjayoun di selatan Lubnan pada 3 Jun lepas.
"Serangan terhadap pasukan pengaman serta orang awam ini berpunca secara langsung daripada pelanggaran Israel terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Lubnan, dan tidak boleh dijustifikasi dalam apa keadaan jua," kata kementerian itu.
Menerusi kenyataan sama, Malaysia turut berharap dua anggota pengaman dari El Salvador dan Sepanyol yang cedera dalam insiden sama segera sembuh.
Malaysia turut menggesa agar keganasan ini dihentikan dan menyeru semua pihak untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, bagi memastikan keselamatan pasukan pengaman PBB dan orang awam di Lubnan.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi kenyataan berasingan turut mengecam serangan di kawasan penugasan pasukan pengaman di Sektor Timur itu.
ATM menegaskan pendirian mutlak bahawa sebarang bentuk serangan termasuk tembakan tidak langsung ke atas pasukan pengaman, adalah satu pencabulan serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).
Sehubungan itu, Markas ATM berkata, tahap keselamatan dan perlindungan di pangkalan MALBATT 850-13 dipertingkatkan serta-merta ke tahap amaran tertinggi dan seluruh pergerakan rondaan digantung sementara waktu.




Comments