Malaysia kecam serangan Israel ke atas Damsyik
- Suara Keadilan

- Jul 17
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara terbaharu Israel ke atas ibu negara Syria, Damsyik yang didakwa telah meragut nyawa orang awam dan mencabuli kedaulatan negara itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan menegaskan serangan itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan Perjanjian Pelepasan 1974 antara Israel dan Syria.
"Saya mengutuk serangan udara Israel ke atas Damsyik yang sekali lagi mencabul kedaulatan Syria dan mengorbankan nyawa orang awam yang tidak berdosa
"Syria telah menanggung penderitaan yang amat dahsyat sepanjang dekad lalu. Rakyatnya berhak menikmati keamanan bukannya terus menjadi mangsa keganasan atau campur tangan kuasa luar," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri menyatakan pendirian Malaysia yang berdiri teguh bersama rakyat Syria dan menggesa penamatan segera terhadap segala bentuk pelanggaran selain menuntut komitmen baharu terhadap prinsip kemanusiaan dan kedaulatan undang-undang.
Laporan media antarabangsa menyebut semalam Israel melancarkan beberapa serangan udara di kawasan Damsyik, secara khusus menyasarkan Kementerian Pertahanan dan kawasan berhampiran Istana Presiden.
Serangan itu dikatakan sebagai respons terhadap keganasan tentera kerajaan Syria terhadap komuniti Druze di wilayah selatan Suwayda.
Israel memberikan alasan serangan itu bertujuan untuk melindungi Druze di Syria mahupun minoriti Druze dalam wilayah yang diduduki Israel.









Comments