top of page

Malaysia kecam keras Israel tahan kapal Global Sumud Flotilla

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 2
  • 2 min read

ree

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel menghalang serta menahan kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bekalan bantuan untuk rakyat Palestin di Gaza awal pagi tadi.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kapal berkenaan membawa sukarelawan antarabangsa termasuk rakyat Malaysia dengan misi kemanusiaan sepenuhnya tanpa sebarang bentuk ancaman ketenteraan namun tetap berdepan sekatan, ugutan dan tindakan keras daripada pihak berkuasa Israel.


"Dengan menyekat misi kemanusiaan ini, Israel jelas menunjukkan sikap tidak menghormati hak asasi rakyat Palestin dan menolak suara hati nurani dunia.

Pelayaran panjang GSF dari Greece menuju ke Palestin berakhir apabila dipintas tentera laut Israel
Pelayaran panjang GSF dari Greece menuju ke Palestin berakhir apabila dipintas tentera laut Israel

"Flotila ini melambangkan solidariti, keprihatinan serta harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang berada di bawah sekatan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Anwar, Malaysia akan menggunakan segala saluran sah di peringkat antarabangsa untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan khususnya berkaitan keselamatan warganegara Malaysia yang terbabit dalam misi berkenaan.


Awal pagi tadi, laporan media antarabangsa menyebut kapal flotila yang belayar menuju Gaza telah dipintas di perairan antarabangsa oleh tentera laut Israel sebelum dikawal masuk ke pelabuhan Ashdod.


Semua sukarelawan di atas kapal, termasuk rakyat Malaysia ditahan untuk siasatan.


Insiden itu mengingatkan kembali tragedi hitam pada Mei 2010 apabila kapal Mavi Marmara sebahagian daripada Freedom Flotilla turut diserang komando Israel ketika membawa bantuan ke Gaza, mengorbankan 10 sukarelawan dan mencetuskan kecaman global.


Anwar menegaskan selagi rakyat Palestin dinafikan hak asasi dan aspirasi mereka, Malaysia akan terus berdiri teguh bersama perjuangan Palestin serta mendesak pengakhiran segera terhadap kezaliman berpanjangan rejim Zionis.


"Selagi rakyat Palestin terus dizalimi dan dinafikan hak mereka, Malaysia tidak akan berganjak walau seinci daripada pendirian untuk bersama Palestin.


"Kita akan terus bersuara menentang kezaliman ini di setiap ruang yang ada," tegasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page