Malaysia kecam keras Israel serang orang awam di selatan Gaza
- Suara Keadilan

- Feb 12, 2024
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan besar-besaran Israel di bandar Rafah, selatan Gaza yang menjadi tempatan orang awam Palestin mendapatkan perlindungan.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata serangan kejam dan tidak berperikemanusiaan itu akan meningkatkan ketegangan dan malapetaka kemanusiaan yang pasti akan merencatkan segala usaha menghentikan peperangan dan gencatan senjata berkekalan.
"Malaysia menuntut Israel menghentikan serangan tersebut dan mematuhi segala peruntukan undang-undang antarabangsa.
"Operasi ketenteraan berniat jahat itu jelas menunjukkan matlamat ulung rejim Zionis untuk menghapuskan rakyat Palestin dari tanah air mereka sendiri," kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu berkata serangan itu sekali lagi memperlihatkan sikap rejim Zionis yang jelas membelakangkan prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Katanya rejim itu juga menghina keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada 26 Januari lepas mengenai enam tindakan sementara yang mesti diambil oleh Israel termasuk mencegah pembunuhan beramai-ramai penduduk Gaza.
"Masyarakat antarabangsa tidak boleh membenarkan tindakan sedemikian berlaku secara terang-terangan tanpa sebarang tindakan," tegas Wisma Putra.
Dalam hal ini, kenyataan itu berkata Malaysia menyokong seruan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mendesak Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan berani menghalang malapetaka baharu oleh rejim Zionis.
Selain itu katanya, Malaysia juga mahu pertubuhan dunia itu menekan masyarakat antarabangsa melaksanakan tanggungjawab dan menghentikan sebarang sokongan kepada rejim yang secara terbuka mengabaikan segala usaha untuk meredakan ketegangan.
Wisma Putra berkata Malaysia kekal dengan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin dalam mendapatkan kembali hak mereka, penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara dan diterima sebagai anggota penuh PBB.
Terdahulu laporan menyebut serangan Israel ke atas Rafah pada awal pagi Isnin membunuh lebih 100 orang awam termasuk kanak-kanak dan wanita, dengan ratusan lagi cedera.
Kira-kira 1.4 juta rakyat Palestin kini berada di Rafah selepas tentera Israel memaksa perpindahan beramai-ramai penduduk dari utara ke selatan Gaza.




Comments