Malaysia jadi kuasa pendamai, ASEAN platform selesai konflik secara aman
- Suara Keadilan

- Jul 29
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Kejayaan membawa Kemboja dan Thailand untuk mencapai kesepakatan gencatan senjata mencerminkan keupayaan Malaysia sebagai kuasa pendamai serantau serta kekuatan ASEAN sebagai platform penyelesaian konflik secara aman.
Perjanjian bersejarah itu dimeterai dalam satu mesyuarat tertutup di Putrajaya semalam melibatkan pertemuan tiga hala antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai.
Pengarah Biro Hal Ehwal Antarabangsa Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Dr Maszlee Malik berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN telah memainkan peranan penting dalam menyediakan platform dialog dan membantu meredakan ketegangan yang mengancam kestabilan serantau.
"Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia telah memainkan peranan penting dalam menyediakan platform dialog dan membantu meredakan ketegangan yang mengancam kestabilan serantau.

"Perjanjian ini (gencatan senjata) lebih daripada sekadar kejayaan diplomatik, ia merupakan pengesahan semula tepat pada masanya terhadap komitmen ASEAN yang berterusan terhadap penyelesaian konflik secara aman, saling menghormati dan kerjasama serantau," katanya dalam kenyataan.
Ketegangan antara Kemboja dan Thailand memuncak awal bulan ini susulan insiden tembak-menembak antara pasukan pengawal sempadan kedua-dua negara berhampiran kawasan bersejarah Prasat Ta Moan Thom di wilayah Oddar Meanchey, Kemboja.
Konflik berakar daripada pertikaian lama berkaitan sempadan dan hak ke atas kawasan kuil purba di wilayah yang dituntut bersama.
Beberapa laporan juga menyebut kehilangan nyawa serta kecederaan dalam kalangan anggota keselamatan kedua-dua negara selain perpindahan ribuan penduduk kampung yang terkesan akibat ketegangan itu.
Gencatan senjata yang diumumkan semalam disambut baik oleh komuniti serantau dan antarabangsa sebagai langkah penting ke arah meredakan konflik serta mengembalikan tumpuan kepada kerjasama ekonomi dan kemanusiaan antara negara jiran.
Maszlee berkata KEADILAN merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri Anwar atas kejayaan cemerlang dalam mendapatkan persetujuan untuk gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat antara Kemboja dan Thailand.
"Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada para pemimpin Kemboja dan Thailand atas kesediaan mereka untuk komited kepada keamanan dan mengambil langkah penting pertama ke arah menamatkan permusuhan," ujar beliau.
Tambah Maszlee, rantau Asia Tenggara yang saling terhubung memerlukan keamanan dan kestabilan bagi pertumbuhan ekonomi yang berterusan, perdagangan rentas sempadan, pembangunan inklusif dan kemakmuran bersama.
"ASEAN sentiasa menjadi seperti sebuah keluarga besar. Walaupun kita berbeza, kita terikat dengan komitmen bersama terhadap keharmonian dan kemajuan bersama. Apabila cabaran timbul antara negara anggota, penyelesaian dicapai melalui dialog dan tanggungjawab bersama," ujarnya lagi.
Kata beliau ASEAN harus terus menjadi contoh bagaimana negara-negara dengan sejarah, sistem dan budaya yang berbeza dapat bekerjasama demi kebaikan bersama.
"Kita mesti berusaha menunjukkan kepada dunia bahawa kerjasama serantau adalah penting untuk menangani cabaran kompleks hari ini dan membina masa depan yang lebih aman dan makmur," jelas beliau.









Comments