Malaysia-Indonesia percepat kerjasama pendidikan, ekonomi, kebudayaan
- Suara Keadilan
- Jun 28
- 2 min read

Malaysia dan Republik Indonesia (RI) bersetuju untuk mempercepatkan kerjasama dalam bidang pendidikan, ekonomi dan kebudayaan susulan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Presiden RI, Prabowo Subianto.
Menurut PM, sebelum keberangkatan pulang dari lawatan itu, beliau dan Prabowo telah memberi kenyataan bersama yang merumuskan hasil perbincangan secara mendalam mencakup hal dua hala Malaysia-Indonesia, isu serantau ASEAN, hingga ke permasalahan tantanan global.
"Kami bertukar pandangan secara terbuka dan mendapati Malaysia dan Indonesia berkongsi pendirian yang sama dalam menangani isu-isu tersebut.
"Keserasian di sudut pandang ini mencerminkan hubungan persahabatan yang akrab serta hubungan strategik yang terjalin kukuh antara kedua-dua negara.
"Malaysia dan Indonesia sepakat sebulat suara bersetuju mempercepatkan kerjasama dalam bidang pendidikan, ekonomi dan kebudayaan demi manfaat bersama.
"Langkah mempergiat kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang pertukaran pengetahuan, peningkatan perdagangan, dan pelaburan serta pemerkayaan budaya kedua-dua negara," katanya dalam muat naik di Facebook.
Selain itu, dalam semangat saling mempercayai, kata Anwar, Malaysia dan Indonesia berazam untuk menyelesaikan isu-isu sempdan yang masih tertangguh secara segera.
Penyelesaian tuntas masalah sempadan itu termasuklah isu maritim yang berlarutan dan menjadi keutamaan agar kepentingan besar persahabatan serta kerjasama erat Malaysia-Indonesia sentiasa terpelihara.
Kata PM, pendekatan menang-menang diharap boleh dicapai dan memperkukuh keyakinan serta kepercayaan antara kedua-dua negara tetangga serumpun.
"Sebagai dua negara pengasas ASEAN, Malaysia dan Indonesia menegaskan komitmen teguh untuk memastikan perpaduan serantau terus dipelihara dan kestabilan ASEAN dikekalkan.
"Kami sependapat bahawa ASEAN yang bersatu padu dan stabil amat penting dalam menghadapi cabaran global semasa, sama ada dari segi ekonomi, politik mahupun keselamatan," katanya lagi.
Dalam pertemuan itu juga, kedua dua pihak mempertegas hal kerjasama serantau yang harus diperkukuh, selaras semangat kejiranan dan keutuhan ASEAN.
Hubungan erat Malaysia-Indonesia pula akan terus dijadikan teladan dan pemangkin kepada kesatuan ASEAN yang lebih utuh, demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara juga rantau Asia Tenggara secara keseluruhan.
Komentarji