top of page

Malaysia-India sepakat tingkat hubungan, jalin perkongsian strategik



Malaysia dan India bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala daripada Perkongsian Strategik Dipertingkat (ESP) kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Anwar yang sedang dalam lawatan rasmi tiga hari ke India mulai semalam berkata keputusan bersama untuk meningkatkan hubungan dengan CSP menandakan satu langkah ke hadapan yang penting.


Beliau mengiktiraf hubungan yang terjalin lama antara Malaysia dan India sejak dari era Perdana Menteri pertama masing-masing - Jawaharlal Nehru dan Tunku Abdul Rahman - dengan menekankan kepentingan untuk mengukuhkan hubungan merentasi pelbagai bidang.


"Kita sedar bagi generasi baharu, hubungan ini perlu terus diperkukuhkan dalam pelbagai bidang seperti digital, pelaburan, perdagangan, pembinaan, pertanian moden, pendidikan, penyelidikan dan semua bidang termasuk kerjasama ketenteraan dalam operasi bersama untuk perkukuhkan sempadan," Anwar berkata demikian dalam sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatannya dari India Narendra Modi di Hyderabad House hari ini.


Status hubungan dua hala Malaysia-India telah dinaikkan kepada ESP pada 2015 semasa lawatan Modi ke Malaysia.


Anwar melahirkan rasa terima kasihnya kepada Modi dan kerajaan India atas layanan mesra mereka dan menegaskan bahawa Malaysia menganggap India sebagai "kawan yang hebat dan sejati".


Beliau berkata perbincangannya dengan Modi, baik dalam mesyuarat dua hala mahupun perbualan peribadi, adalah terbuka dan terus terang, meliputi semua isu, termasuk isu sensitif, mencerminkan erti persahabatan yang sebenar.


"Kami telah mewujudkan persefahaman mengenai beberapa isu," katanya.


Sambil melahirkan rasa kesal kerana tiada kemajuan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Anwar menekankan potensi kerjasama yang lebih besar dan memberi jaminan bahawa Malaysia akan terus komited untuk memperkukuh semula hubungan kerja ini dalam semua bidang.


Dalam ucapannya, Anwar juga memuji kekayaan sejarah, budaya, dan tamadun India, sejajar dengan masyarakat berbilang budaya dan agama di Malaysia.


Beliau menyatakan bahawa persamaan antara kedua-dua negara melangkaui perdagangan dan pelaburan, merangkumi kerancakan budaya.


Perdana Menteri juga menyebut inisiatif dan program baharu yang akan menggalakkan kerjasama lanjut antara syarikat India dan Malaysia, khususnya dalam bidang yang mencabar seperti peralihan tenaga, pendigitalan dan keselamatan makanan.


Beliau secara khusus menekankan kepentingan kerjasama dalam industri semikonduktor, di mana Malaysia diiktiraf sebagai hab di Asia Tenggara dan mengiktiraf pencapaian India dalam bidang ini.


Berkenaan isu seperti penerbangan, visa dan bidang lain yang menjadi perhatian bersama, Anwar menyatakan bahawa tempoh tiga bulan telah ditetapkan untuk memastikan tindakan dan kemajuan pantas mencerminkan pendekatan berorientasikan keputusan Modi.


Terdahulu Anwar diberi sambutan rasmi oleh Modi di kediaman rasmi Presiden India, Rashtrapati Bhavan.


Menyertai beliau ialah Menteri Sumber Manusia, Steven Sim; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Digital, Gobind Singh dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.


Selepas itu, Anwar diberikan penghormatan untuk meletakkan kalungan bunga di tugu Peringatan Gandhi, bapa kemerdekaan India, di Kompleks Peringatan Raj Ghat, disusuli dengan kunjungan hormat Menteri Hal Ehwal Luar India, S Jaishankar.


Perdana Menteri kemudian mengadakan perjumpaan tertutup dengan Modi, disusuli perjumpaan empat mata membabitkan dua pemimpin itu di kediaman kediaman rasmi Perdana Menteri India, Hyderabad House.


Ini diikuti majlis menandatangani dan pertukaran lapan memorandum persefahaman (MoU) dan penyerahan laporan Forum CEO Kedua India-Malaysia, di Dewan Khailash, juga di Hyderabad House.


Perdana Menteri kemudian diraikan pada majlis jamuan makan tengah hari dihoskan Modi dan selepas itu mengadakan pertemuan dengan Presiden India, Droupadi Murmu, di Rashtrapati Bhavan.


Perdana Menteri juga akan menyampaikan Syarahan Ke-50 Sapru House bertajuk 'Ke arah Pembangunan Global Selatan, Memanfaatkan Hubungan Malaysia-India' pada acara anjuran Majlis Hal Ehwal Dunia India.


Lawatan rasmi hari kedua diakhiri dengan majlis ramah mesra bersama rakyat Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

0 comments

Kommentare


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page