top of page

Malaysia hargai kepercayaan Bahrain, buka ruang F1 kembali ke Sepang

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
12 hours ago
3 min read
DS Anwar hadir menyaksikan persiapan perlumbaan F1 di Sepang dalam cuaca hujan
DS Anwar hadir menyaksikan persiapan perlumbaan F1 di Sepang dalam cuaca hujan

Malaysia merakamkan penghargaan kepada Bahrain atas kepercayaan memilih Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai lokasi penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026, yang disifatkan sebagai lambang eratnya hubungan persahabatan kedua-dua negara.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama erat antara Sepang International Circuit (SIC) dan Bahrain International Circuit (BIC) selain komitmen seluruh pasukan penganjur, membolehkan perlumbaan itu berlangsung dengan jayanya.


Beliau turut memberi penghargaan kepada semua pihak yang bekerja di belakang tabir, termasuk pemandu bas, anggota keselamatan, sukarelawan, peniaga dan petugas kebersihan yang turut menyumbang kepada kemeriahan penganjuran perlumbaan berprestij itu.


"Tabik kepada semua yang bertungkus-lumus, daripada pemandu bas, anggota keselamatan dan sukarelawan hingga peniaga serta petugas kebersihan kerana di sebalik kemeriahan ini ada keringat dan kesungguhan mereka yang wajar kita hargai," katanya dalam hantaran di Facebook.


Grand Prix berkenaan berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Oktober sekali gus menandakan kepulangan Formula 1 ke Sepang selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2017.


Menghargai pasukan keselamatan yang memastikan perlumbaan F1 berjalan lancar
Menghargai pasukan keselamatan yang memastikan perlumbaan F1 berjalan lancar

Litar SIC Sepang dipilih sebagai lokasi perlumbaan Bahrain selepas perlumbaan asal di Bahrain tidak dapat berlangsung dengan kerjasama antara Formula 1, FIA, kerajaan Bahrain dan kerajaan Malaysia membolehkan saingan itu dikekalkan dalam kalendar 2026.


Perlumbaan yang berlangsung semalam menyaksikan pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen muncul juara selepas menamatkan perlumbaan 55 pusingan dalam masa 1 jam 47 minit 14.808 saat.


Pelumba Mercedes, Kimi Antonelli menduduki tempat kedua manakala juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton daripada Ferrari melengkapkan podium di tempat ketiga.


Kemenangan itu merupakan kemenangan pertama Verstappen dalam musim 2026 manakala Hamilton menghasilkan kebangkitan menakjubkan selepas terjejas akibat strategi tayar pada awal perlumbaan sebelum kembali menduduki tempat ketiga.


Perlumbaan turut berlangsung dalam keadaan mencabar apabila hujan lebat menyebabkan permulaan ditangguhkan lebih 90 minit sebelum perlumbaan diteruskan dalam keadaan litar basah.


Kepulangan F1 ke Sepang turut mendapat perhatian tinggi apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyaksikan perlumbaan itu bersama Anwar dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa.


Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah turut berkenan hadir bersama anakanda baginda, Putera Abdul Mateen Bolkiah selain beberapa kerabat diraja Malaysia termasuk Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, Tengku Mahkota Kedah Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra.


Putera Salman turut menyampaikan trofi kemenangan kepada Verstappen selepas pelumba Belanda itu menjuarai perlumbaan yang merupakan edisi ke-22 Grand Prix Bahrain.


Dalam perkembangan berkaitan masa depan F1 di Malaysia, Anwar sebelum ini mengesahkan kerajaan sudah membuka ruang perbincangan mengenai kemungkinan Malaysia menjadi tuan rumah F1 sekali lagi selepas penganjuran tahun ini.


Bagaimanapun, beliau menegaskan perkara itu masih di peringkat awal dan penilaian termasuk implikasi kos perlu dibuat sebelum sebarang keputusan.


Anwar berkata beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali selepas pihak F1 sendiri membuka ruang untuk perbincangan tersebut.


Perkembangan itu memberi isyarat bahawa penganjuran Grand Prix Bahrain di Sepang bukan semata-mata acara sekali sahaja sebaliknya membuka kemungkinan Malaysia kembali menjadi tuan rumah perlumbaan F1 pada masa depan, tertakluk kepada penilaian kerajaan dan rundingan dengan pihak F1.


Mengulas sambutan peminat pula, Anwar berkata kehadiran peminat F1 dari seluruh dunia, khususnya rakyat Malaysia telah memeriahkan perlumbaan selain memperlihatkan imej negara yang mesra dan terbuka kepada tetamu antarabangsa.


"Terima kasih kepada peminat F1 dari seluruh dunia yang hadir, dan terutamanya rakyat Malaysia yang memeriahkan perlumbaan serta menyambut para tetamu dengan penuh kemesraan dan budi bahasa. Kalian telah memperlihatkan wajah Malaysia yang mesra, terbuka dan kaya dengan semangat muhibah," katanya.


"Semoga kita ketemu lagi di Sepang. Insya-Allah!" katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page