Malaysia gesa India-Pakistan redakan ketegangan
- Suara Keadilan
- 5 hours ago
- 1 min read

Malaysia menyeru India dan Pakistan bertindak segera untuk meredakan ketegangan antara kedua-dua negara tersebut.
Wisma Putra memaklumkan bahawa kerajaan mengikuti rapat perkembangan terkini konflik antara India dan Pakistan, serta menggesa kedua-duanya untuk bertenang dan berhenti melakukan sebarang provokasi.
"Malaysia mengulangi gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar dijalankan siasatan menyeluruh terhadap serangan pada 22 April lalu di Pahalgam, bagi memastikan semua pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
"Malaysia menegaskan semula sokongan terhadap usaha ke arah penurunan ketegangan dan dialog bermakna antara India dan Pakistan. Diplomasi kekal sebagai jalan terbaik untuk mengelakkan krisis," kata kenyataan itu pada Khamis.
Media sebelum ini melaporkan berlaku serangan didakwa dilakukan pengganas di Pahalgam, Kashmir yang dikuasai India, pada 22 April 2025.
Sebagai tindak balas, India melancarkan "Operasi Sindoor" pada 7 Mei 2025, menyerang sembilan lokasi yang disyaki sebagai markas militan di wilayah Punjab dan Kashmir yang dikuasai Pakistan menggunakan peluru berpandu.
Pakistan kemudian mengecam serangan tersebut sebagai tindakan agresif terhadap sasaran awam, ketegangan semakin memuncak dengan tembakan artileri berat dan letupan kuat berlaku di beberapa kawasan sempadan di Kashmir yang ditadbir Pakistan.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Khamis mengesahkan seramai 21 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sedang mengikuti kursus ketenteraan di Pakistan dan India berada dalam keadaan selamat.
Daripada jumlah tersebut, seramai 18 anggota berada di kolej ketenteraan di India manakala tiga lagi di kolej ketenteraan di Pakistan.